

Walau Padang Bertakung Air Macam Sawah, “Game” Argentina vs Venezuela Tetap Jalan
Argentina dan Lionel Messi meneruskan rentak cemerlang mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 Zon CONMEBOL.
Dalam aksi menentang Venezuela di gelanggang lawan, Argentina berjaya membawa pulang satu mata berharga untuk mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu zon tersebut.
Selepas sembilan perlawanan setakat ini, Argentina berjaya mengumpul sebanyak 19 mata menerusi enam kemenangan dan satu keputusan seri.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Monumental Maturin itu, Argentina terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Nicolás Otamendi pada minit ke-13 perlawanan.
Biarpun beraksi menentang juara bertahan Piala Dunia, Venezuela tidak gentar dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Salomón Rondón pada minit ke-63.
Aksi Argentina vs Venezuela tetap berlangsung walau padang bertakung air macam sawah
Kedudukan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi mata.
Bagaimanapun dalam aksi pagi tadi, keadaan permukaan padang di stadium berkenaan sebenarnya yang menjadi tumpuan lensa kamera, berbanding aksi para pemain.
Difahamkan, permukaan padang di stadium tersebut tidak begitu memuaskan dengan air bertakung yang berpunca daripada hujan lebat sebelum perlawanan.
Ia sekaligus mengganggu rentak permainan dengan pergerakan bola kerap tersekat, menyaksikan magis para pemain seperti Messi tidak begitu menonjol.
“Jujurnya, sangat sukar untuk bermain dalam keadaan seperti ini (merujuk kepada padang). Perlawanan menjadi tidak menarik dan sukar,” komen Messi selepas perlawanan.
Difahamkan, wakil kedua-dua pasukan sebelum itu melakukan perbincangan mengenai status perlawanan selepas mengambil kira permukaan padang ketika itu.
Bagaimanapun, perlawanan diteruskan dengan pekerja-pekerja di stadium dilihat bertungkus-lumus mengeluarkan air daripada permukaan padang sebelum sepak mula.
Pengendali Argentina, Lionel Scaloni turut berkongsi rasa kurang senangnya dengan permukaan padang selepas perlawanan tamat.
“Saya tak mahu bercakap banyak, tetapi keadaan padang hari ini langsung tidak memuaskan. Sekurang-kurangnya untuk aksi hari ini” katanya.
Seorang lagi pemain Argentina, Rodrigo de Paul turut berkongsi sentimen yang sama.
“Malangnya, kami terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan ini dan gagal mengutip tiga mata penuh,” katanya yang kesal kerana Argentina gagal mencatatkan kemenangan.
Terdahulu, jadual perjalanan skuad Argentina turut terjejas dengan kejadian Taufan Milton yang berlaku dalam beberapa hari lepas.
Misalnya, Messi yang beraksi bersama Inter Miami dalam Major League Soccer di Amerika Syarikat tidak dapat menyertai pasukan lebih awal akibat taufan tersebut.
Amerika Syarikat merupakan antara negara yang terjejas teruk dengan Taufan Milton.
Sumber: USA Today
The post Walau Padang Bertakung Air Macam Sawah, “Game” Argentina vs Venezuela Tetap Jalan appeared first on Siakap Keli.
