
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui Malaysia sering digelarkan sebagai ‘syurga makanan’ kerana terdapat kepelbagaian jenis makanan.
Bahkan makanan juga sering dianggap sebagai budaya serta identiti kepada sebuah masyarakat.
Memandangkan Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum dan agama, pastinya setiap kumpulan masyarakat mempunyai kumpulan makanan tersendiri.
Namun sebagai masyarakat, kita sering kali diingatkan untuk tidak saling menghina makanan bangsa lain dan menghormatinya untuk keharmonian bersama.
Willie Mongin minta semua pihak hormati pilihan dan hentikan sikap mencaci makanan orang lain
Terbaharu Ahli Parlimen dari Puncak Borneo, Sarawak, Datuk Willie Mongin telah meminta semua pihak untuk menghormati pilihan makanan orang lain.
Bahkan beliau turut meluahkan rasa kurang senang terhadap segelintir pihak yang mencaci makanan berasaskan daging babi sebagai busuk dan juga kotor.
“Saya juga ingin memberi pesan kepada rakyat Malaysia, supaya mereka tidak mencaci makanan dari bangsa lain. Saya melihat di media sosial, ramai mengatakan babi itu kotor, busuk dan sebagainya.
“Mereka tidak menghormati makanan orang lain, kita sebagai orang Dayak tidak pernah mencari serta menghina makanan orang lain,” jelasnya.
Turut beri contoh budu dan belancan yang berbau kuat namun masih menghormatinya
Willie yang merupakan wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut mengatakan mereka yang makan daging babi itu tidak banyak yang terbabit dengan aktiviti seperti rasuah, dadah mahupun perkara pelik namun sering dituduh menjadi orang tidak bertamadun.
Dalam ucapan itu, dia turut mengatakan ada juga makanan lain yang turut berbau lebih kuat seperti budu dan belacan namun mereka tidak pernah menghinanya dan saling menghormati.
“Sebab itu, kita sebagai orang yang makan babi ini tidak banyak yang mengambil rasuah, tidak banyak yang makan (ambil) dadah, tidak banyak yang sampai membuat perkara pelik-pelik. Tapi kita dituduh makan babi dan kita tidak menjadi orang bertamadun.
“Saya rasa ini perlu dihentikan oleh rakyat Malaysia, oleh mana-mana pihak. Walaupun babi itu busuk, busuk lagi lah budu dan belacan tapi kita tak pernah menghina. Jadi kita saling menghormati untuk menjaga dan mendengar titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya kita hidup harmoni di dalam negara Malaysia ini.
“Jangan kita mencari pasal, sebab negara ini boleh dibangunkan dengan bangsa yang bekerjasama. Kita banyak peluang untuk membangunkan negara kita,” ujarnya lagi.
Jadikan negara jiran lain sebagai contoh untuk masyarakat bersama-sama majukan negara
Malah beliau turut menjadikan negara jiran seperti Singapura, Vietnam, Thailand, Filipina sebagai contoh yang boleh bersatu hati untuk membangunkan negaranya.
Oleh itu, Willie berharap agar semua pihak akur dan menjunjung titah Agong.
