
MEMUKAU, menghiburkan dan mengusik jiwa lebih 14,000 peminat. Itu yang dibawa band Seberang, Wali Band menyelusuri pelbagai sisi kehidupan menerusi seni kata lagu yang menyentuh soal cinta, jodoh, rezeki, keluarga dan taubat.
Hampir tiga jam beraksi di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor Bahru, 3 Oktober lalu, kumpulan asal Tangerang, Indonesia itu membuktikan kekuatan mereka bukan hanya pada melodi yang mudah diikuti, sebaliknya terletak pada lirik yang dekat dengan kehidupan seharian sehingga mudah meresap ke jiwa pendengar.
Setiap lagu seakan-akan mempunyai kisahnya sendiri apabila Wali Band membawa peminat daripada suasana riang dan penuh gelak tawa kepada detik lebih tenang apabila mereka menitipkan doa serta mengajak penonton bermuhasabah.
Kekuatan itu jelas menerusi deretan lagu popular mereka termasuk Kekasih Halal, Doa Untukmu Sayang, Baik-Baik Sayang, Tobat Maksiat dan Cari Jodoh yang bukan sahaja menghiburkan, malah membawa mesej tersendiri tentang kehidupan.

Kemunculan Wali Band yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard) disambut sorakan gemuruh sebaik mereka mengambil tempat di pentas.
Cari Berkah dipilih sebagai pembuka persembahan sebelum mereka meneruskan momentum menerusi Si Udin Bertanya, Kekasih Halal dan Neneku Pahlawanku.
Empat lagu awal itu pantas menghidupkan suasana apabila penonton daripada pelbagai peringkat usia turut menyanyi dan bergoyang mengikut rentak.
Namun, di sebalik kemeriahan itu mereka perlahan-lahan membawa peminat menyelami sisi kehidupan yang lebih luas menerusi karya mereka. Kekasih Halal misalnya, mengangkat sisi cinta yang bukan sekadar tentang perasaan, tetapi impian untuk memiliki hubungan yang diredai dan berakhir dengan ikatan yang halal.
Mereka kemudian meneruskan persembahan dengan Emang Dasar, Abatasa dan Ada Gajah Di Balik Batu, sekali gus memastikan tenaga penonton terus dipacu tanpa henti.

Doa berumah tangga
Menariknya, Wali Band turut mengambil ruang di tengah-tengah kemeriahan untuk menitipkan doa dan harapan kepada para peminat yang hadir. Faank menyampaikan doa buat mereka yang masih belajar, bekerja, berniaga, masih bujang, sedang bercinta mahupun sudah berumah tangga.
Tidak dilupakan mereka yang sedang diuji dengan masalah kesihatan apabila Wali turut mendoakan agar setiap yang hadir dikurniakan kesihatan, rezeki dan keberkatan dalam kehidupan.
Momen itu menjadi lebih bermakna apabila beberapa potongan ayat suci al-Quran termasuk al-Fatihah turut dibacakan, memberikan sisi lebih tenang kepada konsert yang sebelumnya dipenuhi sorakan.
Seusai itu, Wali Band mempersembahkan beberapa lagu secara akustik termasuk Doa Untukmu Sayang yang seolah-olah menjadi luahan kasih mereka kepada para peminat.
Faank kemudian bertanya: “Do you love Wali?”, sebelum pertanyaan itu disambut sorakan gemuruh ribuan peminat. Baik-Baik Sayang dan Harga Diriku pula memberi peluang kepada penonton mengambil alih nyanyian, terutama ketika bahagian korus dimainkan.
Ketika Apoy mengalunkan petikan gitar, Faank sempat menitipkan pesanan kepada penonton dengan berkata: “Kalian adalah harga diri Wali.”

Nostalgia Najwa
Kejutan istimewa hadir apabila penyanyi kelahiran Batu Pahat, Najwa Latif kembali ke pentas untuk bergabung bersama Wali Band menerusi lagu Yank. Kemunculan spontan tanpa latihan itu ternyata menghasilkan gandingan menarik apabila vokal lunak Najwa berpadu dengan suara Faank, sekali gus mencipta antara detik paling mencuri perhatian malam tersebut.
Sebelum itu, Najwa membuka tirai persembahan dengan tujuh lagu popularnya termasuk AdaMu, Carta Hati, Satu Hari Nanti, Kosong, Sahabat, Untuk Dia dan Cinta Muka Buku.
Kemunculan Najwa turut menghidupkan nostalgia dalam kalangan peminat yang membesar dengan lagu-lagunya, khususnya ketika Cinta Muka Buku dinyanyikan beramai-ramai sehingga penyanyi itu kelihatan tersentuh dengan sambutan diterima.
Wali Band kemudian kembali menguasai pentas menerusi Tobat Maksiat yang membawa mesej lebih mendalam tentang muhasabah, taubat dan kematian.
Persembahan itu turut diserikan permainan cahaya yang diselaraskan dengan hentakan dram, menghasilkan suasana visual yang lebih bertenaga.
Kemeriahan semakin memuncak menerusi Aku Bukan Bang Toyib apabila penonton mula bangun dari tempat duduk, menari, bergoyang dan menyanyi bersama.
Kemuncak sebenar hadir apabila melodi Cari Jodoh berkumandang, seolah-olah menyatukan 14,000 hati dalam satu suara.
Lagu yang sinonim dengan Wali Band itu membuatkan sebahagian besar penonton terus berdiri dan menyanyi tanpa henti dari awal hingga ke penghujung.
Cari Jodoh akhirnya menjadi penutup sempurna malam yang bukan sekadar sarat hiburan, tetapi turut mengajak peminat menyelami cerita kehidupan menerusi cinta, jodoh, rezeki, keinsafan dan doa.
The post Wali Band, doa dan banjir penonton di mana sahaja appeared first on Kosmo Online.

