Wan Azizah Masakkan Lauk, Hadiahkan Gelang Tasbih Pendek Waktu Jumpa Pertama Kali - Acha Septriasa

1 Mar 2023 • 8:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Acha Septriasa bersama Anwar Ibrahim dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail - Gambar Fail

Pelakon dan penyanyi Acha Septriasa tersenyum ketika bercerita pertemuan pertamanya dengan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Malaysia. 

Ketika pertemuan yang berlangsung di sebuah hotel itu, Azizah membawakan bekal berisi lauk-pauk yang dimasakkan khas untuk Acha dan Farid. 

“Beliau sosok yang sangat keibuan. Ketika bertemunya di sebuah hotel, dia membawakan saya dan Farid bekal dengan lauk yang dimasaknya sendiri. 

“Dia juga memberikan saya gelang tasbih pendek untuk selalu mengingat Allah SWT dan secara tidak langsung mengingatinya,” katanya ketika ditemui Getaran menerusi sesi siaran langsung di sidang media pelancaran filem Anwar The Untold Story hari ini.

image is not available
Acha Septriasa di sidang media pelancaran filem Anwar The Untold Story hari ini - Gambar oleh Wafa Awla

Pertemuannya dengan Wan Azizah sedikit-sebanyak membantu pelantun ‘Sampai Menutup Mata’ itu dalam menjiwai watak isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibawanya dalam filem ini. 

“Wan Azizah sosok yang amat damai dan amat percaya dengan takdirnya. Dia sangat yakin dengan keluarga dan Tuhannya,” tambahnya lagi.

image is not available
Acha di set penggambaran filem 'Anwar The Untold Story' - Gambar Instagram Acha Septriasa

Filem Anwar The Untold Story arahan Viva Westi menceritakan tentang perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang rasuah dalam politik tanah air. 

Turut sama menjayakan filem yang bakal ditayangkan pada Mei 2023 itu ialah Farid Kamil, Hasnul Rahmat, Dewi Irawan dan Piet Pagau. - Getaran, 1 Mac 2023