Wan Nur Aishah pangku jawatan Ketua AMK Wilayah Persekutuan

LocalPolitics
16 May 2026 • 4:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wan Nur Aishah pangku jawatan Ketua AMK Wilayah Persekutuan
Omar Mokhtar (kiri) dan Wan Nur Aishah

SHAH ALAM - Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Wan Nur Aishah Ahmad Fazli memangku jawatan Ketua AMK Wilayah Persekutuan selepas Asheeq Ali Sethi Alivi meletakan jawatan berkenaan pada Sabtu.

Setiausaha AMK, Omar Mokhtar A Manap berkata, keputusan itu dibuat oleh Biro Politik AMK bagi memastikan kesinambungan gerak kerja dan proses penstrukturan semula berjalan lancar.

"Wan Nur Aishah yang juga Ketua AMK Bandar Tun Razak akan menyelaras semula gerak kerja organisasi, memperkukuh jentera anak muda serta memastikan agenda mendekati rakyat terus diperkasakan di seluruh Wilayah Persekutuan.

"AMK juga akan melaksanakan proses penstrukturan dan pengukuhan organisasi secara menyeluruh agar gerakan anak muda Keadilan terus relevan, progresif dan bersedia mendepani cabaran politik menuju masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu, Asheeq Ali mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam parti termasuk sebagai Ketua AMK Wilayah Persekutuan serta keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa serta-merta.

Omar Mokhtar turut merakamkan penghargaan atas segala sumbangan dan komitmen Asheeq Ali sepanjang bersama AMK dan Keadilan serta beberapa jawatan lantikan politik yang beliau galas disepanjang tempoh itu.

Dalam pada itu, Omar Mokhtar mengingatkan seluruh anggota AMK bahawa kekuatan perjuangan tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata.

Katanya, PKR dibina atas semangat kolektif, pengorbanan ramai generasi reformis dan keyakinan bahawa perubahan memerlukan ketahanan yang panjang.

"Kepada anggota AMK di seluruh negara, kekal tenang, terus bekerja dan fokus memperkukuh gerakan.

"Rakyat sedang memerhati bukan sekadar siapa yang paling lantang berbicara tetapi siapa yang paling konsisten memikul tanggungjawab ketika negara memerlukan kestabilan dan solusi.

"AMK akan terus menjadi nadi kepada cita-cita reformasi yang digembleng selama ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perjuangan reformasi yang menjadi asas kepada parti itu dan AMK tidak pernah terhenti, apatah lagi ditinggalkan.

"Reformasi bukan slogan bermusim tetapi sebuah proses panjang dalam membina negara yang lebih adil, demokratik, telus dan berintegriti.

"Kita memahami bahawa apabila sesebuah gerakan memasuki fasa pentadbiran negara, cabaran yang dihadapi menjadi jauh lebih kompleks.

"Idealisme tetap menjadi kompas perjuangan, namun proses menterjemahkan idealisme ke dalam dasar dan pentadbiran memerlukan kebijaksanaan, kesabaran serta kemampuan mengimbangi realiti semasa negara," katanya.

Ujarnya, AMK percaya bahawa reformasi yang matang bukan sekadar retorik ketika menjadi pembangkang tetapi keberanian untuk melaksanakan perubahan secara bertanggungjawab ketika memegang amanah pemerintahan.

Menurutnya, dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, cabaran geopolitik yang semakin rencam dan keperluan menjaga kestabilan negara berbilang kaum seperti Malaysia, pendekatan pragmatik yang berpaksikan rakyat kadangkala menjadi keperluan tanpa menggadaikan prinsip asas perjuangan.

"Berikutan itu, saya ingin menegaskan bahawa AMK Wilayah Persekutuan kekal stabil, tersusun dan akan terus bergerak lebih aktif berbanding sebelum ini," katanya.