Wan Rosdy nafi akan anggotai Jemaah Menteri Persekutuan

Politics
29 Sep 2023 • 2:07 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BENTONG: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan desas-desus beliau akan dilantik menganggotai Jemaah Menteri Persekutuan dalam rombakan kabinet.

Naib Presiden UMNO itu berkata ia hanya khabar angin dan beliau kini fokus untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Okt ini.

“Mana ada, khabar angin sahaja tu jangan dengar, bukan sahih pun. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun kata akan dipertimbangkan (rombakan), sekarang saya cuma fokus menangkan BN di PRK Pelangai.

“Orang boleh tulis apa sahaja untuk tarik pembaca, tetapi saya fokus Pelangai kerana saya ni orang parti, bertanding dan jadi Menteri Besar pun sebab parti,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat Daerah Bentong di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar yang mendakwa nama beliau, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, akan dilantik sebagai menteri susulan rombakan Kabinet pada masa terdekat.

Anwar, pada Rabu dilaporkan berkata beliau akan memikirkan terlebih dahulu berkaitan isu rombakan Kabinet.

PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam satu nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional Kasim Samat dan seorang calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.-Bernama