Wan Rosdy sebak kenang nasib Najib

LocalPolitics
10 Jun 2023 • 7:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kenangan gambar Wan Rosdy (kanan) bersama Najib.

image is not available
Wan Rosdy ketika Ucapan Penggulungan pada hari terakhir PAU 2023 di WTCKL pada Sabtu.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebak ketika mengenangkan nasib bekas presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini berada di sebalik tirai besi.

Menurutnya, bukan sahaja rakyat Malaysia merindukan bekas ahli Parlimen Pekan tersebut malah Najib turut dirindukan oleh masyarakat di Pahang.

"Saya katakan dengan jujur dan ikhlas bahawa pada saat Malaysia menzahirkan rasa rindu kepada Datuk Seri Najib namun kami kami dari Pahang seribu kali lebih rindu terhadap susuk tubuh yang cukup berjasa ini.

“Suatu ketika kami di Pahang, laksana patah perahu, kemudi hanyut kerana susuk tubuh inilah yang selama ini sentiasa menjadi sumber kekuatan kepada kami.

“Susuk tubuh inilah yang acap masa menjadi sumber inspirasi buat kami. Susuk tubuh inilah yang setiap detik, menjadi sumber pencetus semangat buat kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ucapan Penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, beliau juga berasa sedih ketika melihat kelantangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad zahid Hamidi bersungguh-sungguh memperjuangkan keadilan terhadap Najib.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menjelaskan perasaan pilu itu turut dirasai oleh para perwakilan yang turut menitiskan air mata, terkesan raga dan jiwa kerana merindui aura kepimpinan Najib.