SHAH ALAM - Satu laporan polis yang tular di internet mendakwa wujud perbincangan antara keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin dengan sebuah firma asing bagi menggunakan media antarabangsa bagi tujuan yang didakwa salah.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, laporan polis itu dipercayai dibuat oleh seorang editor media yang turut menjalankan perniagaan konsultansi perhubungan awam.
Menurutnya, individu berkenaan sebelum ini pernah menawarkan perkhidmatan perhubungan awam kepada Toh Puan Nai’mah bagi menangani tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau dan keluarganya, namun tawaran itu telah ditolak.
Wan Saiful berkata, beliau tidak menolak kemungkinan laporan polis berkenaan dibuat sebagai tindak balas terhadap penolakan tersebut dan sekiranya itu motifnya, integriti individu berkenaan dalam menjalankan perniagaan konsultansi perhubungan awam serta syarikat media boleh dipersoalkan.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk kepada siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan berhubung laporan polis berkenaan yang mendakwa wujud aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.
Katanya, beberapa rakan dari dunia akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung perkara itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa dirinya juga akan memberi keterangan kepada polis hari ini, namun tidak pasti sebab sebenar beliau dipanggil.
“Saya tertanya-tanya sama ada ia satu cubaan untuk mengaitkan pembangkang dengan isu ini,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.
Wan Saiful turut merujuk kepada Hansard Dewan Rakyat bertarikh 17 April 2012 yang menurutnya menunjukkan bahawa perbahasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu menjelaskan bahawa frasa 'aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen' di bawah Seksyen 124B merujuk kepada aktiviti ganas yang tidak berperlembagaan bagi menggulingkan institusi Parlimen yang dipilih melalui sistem demokrasi.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana aktiviti media atau kempen awam boleh disiasat di bawah seksyen berkenaan.
Menurutnya, takrifan 'menjejaskan demokrasi berparlimen' juga pernah dibahaskan oleh ahli Parlimen pembangkang ketika itu, termasuk Menteri Dalam Negeri sekarang menyuarakan kebimbangan mengenai takrifan longgar yang boleh disalahgunakan oleh pihak berkuasa.
Wan Saiful berkata, timbul persoalan asas bagaimana laporan media atau kempen awam boleh diklasifikasikan sebagai aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kempen awam oleh ahli politik atau parti politik serta kritikan terhadap kerajaan yang disiarkan media juga akan dianggap sebagai kesalahan di bawah kerajaan Madani.
Menurutnya, siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan itu adalah tidak munasabah dan merupakan satu penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan.
"Sekiranya dibiarkan, tindakan sedemikian berpotensi memberi kesan serius terhadap kebebasan media serta menyebabkan pengamal media berisiko disiasat di bawah seksyen berkenaan," ujarnya lagi.
Wan Saiful menegaskan bahawa semua rakyat Malaysia berhak membela diri dan membetulkan naratif secara sah melalui saluran media massa atau mana-mana saluran yang dirasakan sesuai.
Pada masa sama, beliau turut menyuarakan kebimbangan sekiranya terdapat pengamal media yang tidak berjaya membida sesuatu projek kemudian menggunakan maklumat yang diperoleh bagi menimbulkan masalah kepada pelanggan yang menolak mereka.
Tambahnya, keadaan itu boleh mewujudkan ketidakpercayaan terhadap media yang sepatutnya berperanan sebagai the fourth pillar of democracy.
