Wan Suraya Dilantik Ketua Audit Negara Baharu

12 Jun 2023 • 2:15 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Wan Suraya Dilantik Ketua Audit Negara Baharu

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) — Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa esok, umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini.

Mohd Zuki berkata pelantikan itu selaras dengan Perkara 105 (1) Perlembagaan Persekutuan dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Pelantikan beliau adalah berdasarkan kepada kepimpinan dan pengalaman luas sepanjang 29 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” kata Mohd Zuki dalam satu kenyataan.

Wan Suraya sebelum ini juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pembangunan Usahawan, serta beberapa kapasiti di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi & Pemantauan).

Wan Suraya menggantikan Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid yang tamat kontrak sebagai Ketua Audit Negara pada Februari lepas.

Sumber: BERNAMA