Wangian Daripada Pengembara Buat Si Pengembara 

15 Jul 2024 • 8:04 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
OLFAC3 Perfumes menjanjikan sesuatu yang eksklusif, unik, berbeza daripada jenama yang lain.

Setiap kali mengembara pasti anda mencari-cari buah tangan untuk dibawa pulang sebagai ole-ole. Sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga mahupun teman-teman. 

Mencari sesuatu yang unik kadangkala membuatkan seseorang buntu, lebih-lebih lagi jika dia adalah ‘frequent traveller’. Jadi, untuk perkongsian kali ini, Getaran ini memperkenalkan wangian mewah daripada OLFAC3 Perfumes yang diinspirasikan daripada pengembaraan Pengasas dan Ketua Pencipta Wangian OLFAC3 Perfumes, Aien Mokhtar.

image is not available
Aien Mokhtar

Jenama yang diasaskan pada lapan tahun lalu ini mungkin tidak pernah didengari, tetapi OLFAC3 sebenarnya punya pengikut atau peminat setia. Ini kerana, jenama ini menjanjikan sesuatu yang eksklusif, unik, berbeza daripada jenama yang lain.   

Seperti yang dijelaskan awal tadi, OLFAC3 Perfumes menawarkan wangian asli yang dicipta menggunakan bahan berkualiti tinggi yang diperoleh dari serata dunia. 

Ia diilhamkan secara unik oleh kenangan warisan Malaysia Aien dan pengalaman peribadinya yang mengembara ke seluruh dunia sejak kecil, di mana ketika itu dia menemani ibunya semasa perjalanan dan tugasan antarabangsa bersama Kedutaan Malaysia.

"Ciptaan saya tidak dipacu oleh trend tetapi diilhamkan oleh pengalaman, kenangan, dan kecenderungan saya terhadap wangian yang tidak biasa dan luar biasa. Wangian-wangian ini mengandungi bahan-bahan yang mewakili kawasan dan tempat-tempat yang memberi inspirasi kepada saya.

“Ciptaan saya cenderung menggunakan lebih banyak bahan yang diilhamkan oleh Asia berbanding jenama antarabangsa lain. Setiap wangian mempunyai cerita uniknya sendiri, yang dibayangkan, dirakam, dan dihidangkan dalam satu pengalaman panca indera yang tersendiri," jelas Aien berkongsi cerita.

image is not available

Tambah Aien lagi, kebanyakan jenama wangian Malaysia pada masa kini tidak dipelopori oleh pakar wangian yang mencipta wangian asli eksklusif. 

Walau bagaimanapun banyak jenama yang menawarkan wangian-wangian secara besar-besaran serta diilhamkan oleh wangian antarabangsa popular yang menggunakan bahan lebih murah, dan membolehkan wangian-wangian tersebut dijual dengan harga yang lebih rendah.

"Dari segi kualiti, OLFAC3 Perfumes setaraf dengan wangian mewah antarabangsa. Perbezaannya terletak pada inspirasi untuk setiap wangian, bahan yang digunakan, komposisi dan gaya, serta rasa yang terhasil dari setiap ciptaan unik.

“Ini seperti lukisan ciptaan pelukis pelbagai negara yang pasti berbeza dari sudut keadaan dan warisan yang mencerminkan gaya serta daya tarikan yang unik,” ujar Aien. 

Dalam sesi perkenalan bersama pihak media baru-baru ini, OLFAC3 Perfumes turut memperkenalkan set wangian kembara terbaharu mereka yang dipanggil Wanderlust.

Set Kembara Wanderlust adalah set wangian pertama mereka yang direka khas untuk rakyat Malaysia yang gemar melancong, pengembara antarabangsa, dan pelawat ke Malaysia yang mencari sesuatu yang unik dan melambangkan keunikan Malaysia. 

Ia mengandungi enam wangian paling popular dan unik dalam saiz kembara dan boleh dijadikan hadiah yang mudah dibawa kerana setiap satu tersedia dalam saiz 7.5 ml. Bahkan, rekaan kotaknya juga anggun dan boleh digunakan semula.

image is not available

"Kotak ini akan menjadi hadiah yang sempurna untuk peminat wangian di seluruh dunia. Ini akan menjadi produk pertama kami yang ditawarkan di pasaran runcit sektor pelancongan menjelang tahun 2025, di mana pelawat ke Malaysia dapat membawa secebis kenangan Malaysia bersama mereka ke mana-mana," ulas Aien.

Pelancaran set ini juga merupakan langkah pertama OLFAC3 Perfumes untuk fasa seterusnya, di mana mereka menyasarkan pasaran runcit untuk memudahkan peminat wangian mendapatkan koleksi mereka. 

"Kami akan mengembangkan kehadiran kami secara runcit melalui rakan jualan terkini iaitu Mano Plus di Kuala Lumpur dan di Penang, Tsutaya Bookstore di Bukit Jalil, Nala Designs di Kuala Lumpur, dan TroubleMakers District di Petaling Jaya.

"Peminat wangian juga boleh menemui koleksi lengkap kami, termasuk Koleksi KemBali yang hanya tersedia di Bali, di OLFAC3 Perfumes Le Laboratoire (The Lab) di GMBB, Kuala Lumpur.

“Kami akan menjelajah lebih banyak cawangan di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru menjelang akhir 2024, dengan wangian-wangian dan produk baharu yang akan dilancarkan untuk pelanggan Malaysia,” ujar Aien yang turut berkongsi pihaknya akan melancarkan rangkaian produk Ambiance dan Linen untuk kegunaan rumah dan ruang peribadi menjelang akhir tahun ini.

image is not available

Sepanjang Julai 2024, setiap Kotak Kembara Wanderlust OLFAC3 Perfumes boleh dibeli di dalam talian dengan harga pelancaran istimewa RM290 (harga runcit selepas itu adalah RM350) dengan penghantaran percuma di seluruh Malaysia.

Bagi setiap pembelian dalam talian melebihi RM200, pelanggan juga akan mendapat Semburan Ambiance & Linen Khatulistiwa atau Madagascar dalam saiz 50 ml secara percuma.

Layari https://www.olfac3.com/ untuk maklumat lanjut dan tempahan. – Getaran, 15 Julai, 2024

Foto : OLFAC3 Perfumes