Kota Kinabalu: Seorang wanita di Kuching melaporkan sebuah salun rambut kepada Tribunal Pengguna kerana mengenakan caj lebih RM1,600 kepadanya untuk perkhidmatan mewarna dan menggunting rambutnya, menurut Dayak Daily.
Satu hantaran di media sosial mengenai caj mahal yang dikenakan kepada wanita itu dan suami serta anak lelaki mereka tular baru-baru ini.
Berdasarkan resit bertarikh 9 September dalam hantaran itu, suami dan anak wanita itu masing-masing dikenakan bayaran RM35 dan RM25 untuk khidmat menggunting rambut mereka, sementara wanita itu dikenakan caj RM1,628 untuk khidmat mewarna dan menggunting rambut serta tambahan RM505 lagi untuk pembelian tiga produk penjagaan rambut.
Hantaran itu mengundang banyak komen daripada netizen yang berbelah bahagi antara menyokong pasangan itu dan salon rambut berkenaan.
Sebagai tindak balas, pendandan rambut yang bertanggungjawab memberi khidmat kepada keluarga itu turut membuat hantaran ke media sosial untuk menjelaskan bahawa dia telah memberitahu wanita itu dan suaminya mengenai keseluruhan proses berkenaan.
Beliau juga berkata harga perkhidmatannya, yang didakwanya bersesuaian dengan pengalaman bertahun-tahun melalui pembelajaran dan latihan adalah pada tahap premium dan dia tidak pernah mengenakan bayaran di bawah RM500.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
