Wanita Buat Kecoh Di Masjid Direman 4 Hari, Mungkin Ada Masalah Mental – PDRM

18 Mar 2024 • 4:45 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sebelum ini, tular di media sosial video memparkan seorang wanita memasuki Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi, Pulau Pinang dan membuat provokasi kepada para jemaah.

Menerusi hantaran terbabit kelihatan wanita berkenaan telah memasuki ruang solat lelaki sebelum bertanya soalan yang didakwa kurang sopan kepada seorang jemaah pada 12 Mac sekitar jam 10 malam.

Dakwa suara bilal dan imam kuat hingga ganggu kejiranan, bukan kali pertama berlaku

Menurut laporan Sinar Harian, wanita warga emas yang memasuki perkarangan masjid tanpa menutup aurat itu telah bertanya tentang suara bacaan bilal serta imam yang didakwanya kuat sehingga mengganggu kejiranan.

“Wanita itu datang sendirian ketika jemaah sedang melaksanakan solat sunat witir sebelum cuba mencetuskan kekecohan.

“Bukan kali pertama dia bertindak sedemikan, ini kali ketiga malah sebelum ini dua kali wanita itu meluahkan rasa tidak puas hati menerusi kiriman surat namun begitu kami tidak membuat laporan polis berikutan difahamkan dia mempunyai masalah kesihatan mental.

“Bagaimanapun selepas video berhubung kejadian tular di media sosial kami terpaksa buat laporan bagi mengelakkan timbul isu lain termasuk kejadian sama berulang,” ujar Pengerusi Kariah Jamek Ar-Rahman, Ismail Din.

Walau bagaimanapun keluarga wanita berkenaan sewaktu dihubungi Ismail memaklumkan dia mengalami masalah kesihatan mental sebaik pulang dari London. Susulan itu, laporan polis kemudian dibuat untuk siasatan lanjut.

Wanita warga emas direman selama empat hari

Terbaharu, pihak polis memaklumkan wanita berkenaan telah ditahan reman selama empat hari bermula pada hari ini (18 Mac).

Jelas Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid wanita tersebut ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

“Reman ke atas wanita tersebut dibenarkan selama empat hari, bermula hari ini.

“Wanita itu juga mungkin mempunyai masalah mental dan akan dirujuk kepada pakar psikiatrik,” jelasnya, dipetik Kosmo.

Source: