Wanita cetuskan kekecohan di stesen minyak didenda RM5,500

LocalPolitics
22 Oct 2024 • 4:16 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Mahkamah Majistret Sungai Besar menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM5,500 ke atas seorang wanita yang telah mencetuskan kekecohan di sebuah stesen minyak beberapa hari lalu.

Tertuduh, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah, berkelakuan aib di tempat awam dan berkelakuan tidak senonoh dalam balai polis.

Pertuduhan pertama Elyna Muhamad, 42, didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap penyelia stesen minyak, Shakir Zuhayri Zairul Rizal, 24, di sebuah stesen minyak di Pusat Perdagangan Hillpark, Puncak Alam pada jam 7.50 malam, 17 Oktober lalu.

Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa berkelakuan aib di tempat awam (lokasi yang sama) bertujuan membangkitkan kemarahan.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM100.

Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh dalam Balai Polis Saujana Utama pada jam 1.45 pagi, 19 Oktober lalu dan didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya.

Peguam bela tertuduh dilaporkan merayu hukuman denda dikurangkan dengan alasan wanita tersebut tidak bekerja.