Wanita curi pakaian dipenjara tujuh bulan

19 Dec 2025 • 2:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 32 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan serta denda RM3,000 atau penjara satu bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret pada Khamis kerana mencuri barangan pakaian dari sebuah pasar raya dua tahun lalu.

Tertuduh Jascinta Shima yang juga seorang suri rumah mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas kesalahan yang dilakukan pada jam 6 petang, 30 Oktober 2023 di CT Department Store, City Mall, Jalan Lintas.

Mengikut pertuduhan Jascinta mencuri sehelai baju bernilai RM89 serta tujuh helai pakaian dalam wanita bernilai RM79.90 yang kesemuanya milik pasar raya berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Menurut pihak pendakwaan pada hari kejadian seorang pembantu jualan menyedari beberapa barangan pakaian yang dibawa masuk ke bilik persalinan oleh seorang pelanggan wanita tidak dikembalikan.

Wanita itu kemudianya meninggalkan kedai tanpa membuat sebarang bayaran.

Pembantu jualan berkenaan memaklumkan kepada penyelia dan seorang pengawal keselamatan yang kemudian mengekori wanita tersebut ke sebuah farmasi di tingkat bawah.

Apabila ditanya wanita itu yang kemudianya dikenal pasti sebagai Jascinta mendakwa telah memulangkan semua pakaian berkenaan.

Bagaimanapun penyelia tersebut kembali semula ke farmasi itu kerana berasa curiga dan menemui barangan yang hilang disorokan di celah kotak-kotak yang disusun.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukan Jascinta berulang kali keluar masuk bilik persalinan dengan membawa pakaian sebelum meninggalkan sebahagianya tanpa dipulangkan.

Mahkamah memerintahkan Jascinta menjalani hukuman penjara berkenaan bermula dari tarikh sabitan.

Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 20 tahun didenda RM3,000 atau penjara satu bulan kerana menceroboh rumah tahun lalu.

Tertuduh Shamril Abdullah mengaku bersalah menceroboh sebuah rumah di Kampung Inanam Laut, Inanam pada jam 5.10 pagi, 28 Februari 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah diberitahu bahawa siasatan polis mendapati Shamril mengaku memasuki rumah berkenaan dengan niat untuk mencuri namun menjadi panik apabila pengadu terjaga lalu berlaku pergelutan.

Tertuduh kemudianya ditangkap oleh bapa pengadu sebelum diserahkan kepada pihak polis.