
Wanita Dakwa Tangan Bayi Bengkak, Melecur Selepas Terima Rawatan Di Hospital
Seorang bayi berusia satu bulan didakwa mengalami bengkak dan melecur di tangan selepas menerima rawatan di sebuah hospital.
Insiden ini, yang berlaku bulan lalu, telah tular di media sosial melalui aplikasi Telegram.
Menurut maklumat dari tangkap layar e-mel yang dihantar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ibu bayi tersebut, seorang wanita berusia 35 tahun, mendakwa bahawa dia membawa bayinya ke jabatan kecemasan hospital tersebut untuk mendapatkan rawatan kerana bayinya mengalami batuk berkahak, nafas laju, dan dada berlekuk.
Wanita itu tiba di hospital kira-kira jam 4 petang pada 9 Jun lalu, di mana tangan anaknya dipasang jarum untuk pengambilan darah oleh doktor.
“Sehinggalah anak saya dimasukkan ke wad kira-kira 7.30 malam sebelum ditukar ke wad lain kerana memerlukan oksigen yang sesuai.
“Sekitar 10 malam, jururawat mula memasukkan air drip kerana perlu berpuasa dalam keadaan anak dibedung,” tulisnya lagi.
Dia mendakwa bahawa kira-kira dua jam kemudian, anaknya menangis kerana lapar sebelum jururawat membenarkannya memberikan susu badan kepada bayinya.
Namun, bayi tersebut masih tidak selesa dan terus menangis sehingga jam 4 pagi, walaupun tidak mengalami kembung perut atau kesukaran membuang air besar.
“Saya tergerak untuk membuka bedung dan melihat keadaan tangan kanannya sudah bengkak sehingga ke paras bahu.
“Keadaan tangannya seperti kena bakar membuatkan saya terkilan kerana datang sebab (rawatan) lain tapi sampai hospital lain pula sakit yang dapat,” dakwanya lagi.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem, ketika dihubungi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) telah menyediakan kenyataan berhubung isu tersebut.
“Bagaimanapun, kami sedang menunggu kelulusan daripada (Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan) berhubung isu ini,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
The post Wanita Dakwa Tangan Bayi Bengkak, Melecur Selepas Terima Rawatan Di Hospital appeared first on Siakap Keli.


