
GEORGIA: Seorang wanita dari kawasan Atlanta mendakwa kecuaian dalam pengendalian sampel tisu menyebabkan dia tersalah didiagnosis menghidap kanser rahim agresif dan terpaksa menjalani pembedahan membuang keseluruhan rahim ketika berusia 43 tahun.
Menurut saman yang difailkan di Clayton County, Georgia, Cassandra Barksdale mengalami menopaus pramatang selepas doktor membuang serviks, rahim, tiub fallopio dan kedua-dua ovari beliau pada tahun lalu.
Saman berkenaan menamakan Kaiser Foundation Health Plan of Georgia, Kaiser Foundation Health Plan, Kaiser Permanente Insurance Co. serta juruteknik makmal yang dipercayai mengendalikan sampel Barksdale sebagai defendan.
Menurut saman itu, dia berjumpa doktor di pusat perubatan Kaiser Permanente pada Januari 2025 selepas mengalami pendarahan rahim tidak normal dan ketumbuhan fibroid.
Dia kemudian dirujuk untuk konsultasi dan menjalani biopsi tisu endometrium pada Mac 2025. Tisu berkenaan dihantar ke makmal luar, Quest Diagnostics bagi analisis patologi.
Pada 17 Mac 2025, Barksdale dimaklumkan menghidap kanser rahim agresif. Dia kemudiannya menjalani ujian imbasan CT yang menurut saman tidak menunjukkan sebarang tanda kanser sebelum dirujuk kepada doktor di Hospital Northside Atlanta.
Berdasarkan rekod imbasan dan laporan patologi terdahulu, doktor baharu Barksdale mengesyorkan pembedahan histerektomi penuh, pembuangan ovari serta biopsi kelenjar limfa.
Bagaimanapun, ujian susulan ke atas tisu Barksdale selepas pembedahan selesai mengesahkan tiada sebarang tanda kanser atau ketumbuhan ganas di seluruh rongga endometriumnya.
Kaiser Permanente dalam satu kenyataan pada Selasa menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan Barksdale bagi menyelesaikan isu berkenaan menerusi pendekatan paling adil dan bertanggungjawab.
“Barksdale tidak sepatutnya melalui kejadian ini. Kami mempunyai kakitangan terlatih dan proses kerja yang ketat bagi mengelakkan kesilapan sedemikian daripada berlaku. Selepas kejadian ini berlaku tahun lalu, kami telah mengambil langkah serta-merta bagi memastikan ia tidak berulang,” kata syarikat itu.
Dalam sidang media pada Selasa, Barksdale meluahkan derita berkenaan memberi kesan mendalam terhadap keluarganya yang sebelum ini menyangka beliau hanya mempunyai jangka hayat sehingga lima tahun sahaja.
Kesilapan itu turut menyebabkan anak-anaknya mengalami kemurungan berpanjangan.
Saman berkenaan mendakwa pekerja di Kaiser Permanente tersilap mengendalikan sampel tisu Barksdale pada Mac 2025 sebelum ia dihantar ke Quest Diagnostics. Pihak Quest bagaimanapun tidak berdepan tindakan saman atau dituduh melakukan sebarang kesilapan dalam diagnosis berkenaan. -AGENSI
The post Wanita derita hilang rahim selepas doktor tersilap diagnosis kanser appeared first on Utusan Malaysia.
