Seorang wanita dari Jiangsu, China, terpaksa menjalani pembedahan kecemasan bagi membuang lima kilogram makanan yang tidak hadam dari perutnya. Wanita berkenaan dipercayai makan berlebihan sehingga menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.
Wanita yang dikenali sebagai Zhang, 41, dikatakan mempunyai tabiat pemakanan yang berlebihan sejak sekian lama.
Memetik laporan dari mustsharenews, sekitar sebulan sebulan kejadian, Zhang telah mengalami ketidakselesaan dan kembung perut, namun tidak mengubah tabiat pemakanan. Namun, beberapa minggu kemudian, keadaannya bertambah teruk apabila perutnya semakin membengkak. Zhang juga turut mengalami muntah-muntah.
Beberapa hari sebelum dimasukkan ke hospital pula, Zhang mula mengalami sakit perut yang teruk apabila dikatakan telah memakan sebiji kek.
Dimasukkan ke ICU
Zhang kemudiannya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Affiliated Nantong University, dan doktor telah melakukan pembedahan secara kecemasan.
Pemeriksaan doktor mendapati perutnya telah membesar secara mendadak akibat halangan pada duodenum, menyebabkan distensi gastrik (gastric distension) atau peregangan perut berlebihan yang teruk.
Peregangan yang berlebihan ini telah mengakibatkan beberapa bahagian dinding perutnya mengalami nekrosis serta berlubang, menyebabkan kandungan perut bocor ke dalam rongga abdomen.
Menurut Dr Guo Qingsong yang mengetuai pembedahan, Zhang berada dalam keadaan kejutan septik dan berisiko tinggi mengalami kegagalan buah pinggang akut dan ujarnya, kegagalan pelbagai organ juga boleh berlaku pada bila-bila masa.
Tambahnya lagi, tanda-tanda vital Zhang sangat tidak stabil dan tidak dapat dikawal hanya dengan ubat-ubatan, menjadikan pembedahan sebagai satu-satunya pilihan.
Dalam pada itu, menerusi pembedahan tersebut, pasukan perubatan telah mengeluarkan lebih 3 liter makanan dari perutnya, termasuk sejumlah besar sayur jeruk dan tauge.
Perut terpaksa dibuang
Mereka juga menemui beberapa batu gastrik (gastric stones), ada yang sebesar 6cm. Disebabkan keadaan yang terlalu serius, Zhang menjalani prosedur gastrektomi total, di mana keseluruhan perutnya dibuang.
Bagi membolehkan makanan terus masuk ke sistem penghadaman, pasukan bedah membina semula saluran penghadaman dengan menyambungkan esofagusnya secara terus ke usus kecil. Selepas pembedahan selama enam jam itu, Zhang dipindahkan kembali ke ICU untuk pemantauan rapi dan rawatan susulan.
The post Wanita di China jalani pembedahan kecemasan buang 5kg makanan tidak hadam appeared first on The Reporter.





