SHAH ALAM – Seorang wanita berdepan detik menakutkan apabila dicabul oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika berjalan pulang dari tempat kerjanya di Setia Alam, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada mangsa berusia awal 20-an pada jam 9.06 malam.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 malam ketika mangsa berjalan seorang diri melalui lorong sunyi di kawasan perumahan berkenaan.
"Mangsa secara tiba-tiba diserang dari arah belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali.
"Suspek yang memakai baju berwarna merah dan seluar hitam bertindak memeluk serta menutup mulut mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sarudin berkata, suspek turut bertindak mencium dan meraba mangsa sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian, namun polis kini giat mengesan suspek bagi memastikan keselamatan orang ramai.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 011-16652402 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tersebut.






