
Seorang wanita berusia 24 tahun didakwa melakukan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan wang berjumlah RM48,626.45.
Nur Atikah Omping mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim, kepada tiga pertuduhan terhadapnya pada Jumaat.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan melanggar amanah yang diberikan kepadanya oleh Kedai Istana Ayam Tua, dengan wang tunai runcit berjumlah RM13,515 yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun bank syarikat itu, tetapi sebaliknya menggunakan wang itu untuk kegunaan sendiri.
Kesalahan itu didakwa berlaku di UOB Bank cawangan Tuaran pada 10 Nov 2021.
Bagi pertuduhan kedua, Nur Atikah didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan sejumlah RM25,554 untuk kegunaan sendiri di tempat sama pada 11 Nov 2021.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan serupa membabitkan wang berjumlah RM9,557.45 di tempat sama pada 12 Nov 2021.
Kesalahan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, dengan sebatan dan juga boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menawarkan ikat jamin RM10,000 kepada Nur Atikah dan dua penjamin tempatan dengan alamat dan pekerjaan tetap, bagi semua pertuduhan terhadapnya.
Kesnya akan disebut semula pada 16 Jan tahun ini untuk penyampaian dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus manakala Nur Atikah tidak diwakili peguam.
Sementara itu, seorang warga Filipina dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan dikenakan satu sebatan kerana memasuki negeri ini secara haram.
Arjey Jubasari mengaku memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen sah dan dia ditahan di kawasan Bandaraya selepas gagal mengemukakan dokumen kepada polis.
Selepas hukuman penjaranya selesai, Arjey diarah dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk data biometriknya direkodkan sebelum dihantar pulang ke negara asal.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
