Wanita didenda miliki produk kecantikan tidak berdaftar

LocalBeauty
9 Dec 2025 • 5:03 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 26 tahun diperintahkan membayar denda keseluruhan RM5,000 kerana memiliki produk dan kosmetik tidak berdaftar serta tanpa notifikasi dengan nilai keseluruhan RM2,989.

Norfarazila Jafran mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan terhadap empat pertuduhan yang dikenakan ke atasnya pada Isnin.

Bagi pertuduhan pertama Norfarazila didenda RM1,000 atau sebulan penjara kerana memiliki lima produk tidak berdaftar pada jam 11.30 pagi, 3 April 2024 di Maya Beauty D’Vendor, ruang sub-penyewa di G-Mart Kinarut, Papar.

Kesalahan di bawah Peraturan 7 (1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 itu memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dia didenda RM1,500 atau sebulan penjara kerana memiliki 24 kosmetik tanpa notifikasi di tempat dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula Norfarazila didenda RM1,000 atau sebulan penjara kerana memiliki enam lagi produk tidak berdaftar pada jam 11.30 pagi, 3 Mac 2024 di lokasi yang sama.

Bagi pertuduhan keempat dia didenda RM1,500 atau sebulan penjara kerana memiliki 18 kosmetik tanpa notifikasi di tempat dan masa yang sama seperti pertuduhan ketiga.

Dalam kes berkaitan seorang lagi wanita didenda keseluruhan RM2,000 kerana menjual produk dan kosmetik tidak berdaftar serta tanpa notifikasi kepada dua wanita berbeza.

Bagi pertuduhan pertama Asheera Amin didenda RM1,000 atau sebulan penjara kerana menjual dua produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada seorang wanita dikenali sebagai Patricia pada jam 11.28 pagi, 3 April 2024 di lokasi yang sama.

Bagi pertuduhan kedua dia didenda RM1,000 atau sebulan penjara kerana menjual tiga lagi produk tidak berdaftar kepada seorang wanita dikenali sebagai Nurhuda pada 3 Mac 2024 di tempat yang sama.

Semasa rayuan kedua-dua tertuduh memohon agar hukuman diringankan.

Bagaimanapun pihak pendakwaan memohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal.

Sebelum menjatuhkan hukuman mahkamah menasihati kedua-dua mereka supaya menjalankan perniagaan mengikut undang-undang kerana kegagalan mematuhinya boleh mendatangkan risiko kepada pengguna.

Mahkamah berharap kesalahan yang dilakukan itu menjadi pengajaran buat mereka.