Wanita Didenda RM2,800 Gara-Gara Sebar Video Intim Bekas Suami Dengan Perempuan Lain

8 Jun 2026 • 6:25 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Wanita Didenda RM2,800 Gara-Gara Sebar Video Intim Bekas Suami Dengan Perempuan Lain

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Gara-gara menyebar video intim bekas suami bersama perempuan lain, seorang wanita didenda RM2,800 hari ini oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh, Puteri Norfatimah Ishak yang berusia 25 tahun mengaku bersalah atas kesalahan memiliki dan menyebar video lucah bekas suaminya.

Puteri Norfatimah yang merupakan seorang pekerja kilang membuat pengakuan terbabit sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Wanita Miliki Video & Gambar Lucah Suami

Mengikut pertuduhan, wanita terbabit didapati memiliki video serta gambar lucah dalam sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro Max.

Kesalahan itu dilakukan olehnya kira-kira jam 4 petang pada 11 Januari lalu di tepi Jalan Ayer Keroh Lama dalam daerah Melaka.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pengadu Terima Video Intim Daripada Kakak Sendiri Sebelum Buat Laporan Polis

Berdasarkan fakta kes, pengadu telah menerima satu rakaman video daripada kakaknya yang dihantar menggunakan nombor telefon dipercayai milik bekas isteri kepada seorang lelaki yang dikenalinya pada Disember tahun lalu.

Video tersebut menunjukkan pengadu sedang melakukan hubungan seks bersama bekas suami tertuduh dan dirakam tanpa pengetahuan serta persetujuan pengadu.

Hasil siasatan lanjut mendapati rakaman tersebut dipercayai turut disebarkan kepada beberapa ahli keluarga terdekat pengadu.

Ekoran itu, pengadu telah membuat laporan polis kerana rasa teraniaya serta tidak berpuas hati dengan tindakan tertuduh yang didakwa menyebarkan rakaman video terbabit.

Wanita Mohon Hukuman Diringankan, Berada Dalam Keadaan Emosi Selepas Keguguran

Oleh yang demikian, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dan menjelaskan tindakan penyebaran bahan lucah individu yang dikenal pasti bukan sahaja melanggar undang-undang malah mencabuli maruah serta privasi mangsa terlibat.

Walau bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan atas alasan perbuatan tersebut dilakukan dalam keadaan emosi selepas keguguran selain perlu menanggung ibu bapa.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Memetik Sinar Harian, mahkamah turut memerintahkan agar barang kes berkenaan dilupuskan.