KOTA KINABALU - Seorang wanita didenda RM25 selepas mengaku bersalah menghina dan menjejaskan imej melalui pesanan aplikasi WhatApps dan memuat naik komen jelik terhadap isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan.
Tertuduh, Luisa Luis, 27, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali di sini pada Khamis.
Tertuduh yang juga penganggur melakukan kesalahan itu terhadap Siti Noor Liyana Abd Latif Beldram, 37, yang juga suri rumah.
Tertuduh didenda RM25 di bawah Seksyen 8(1)(b) di bawah Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil dan diingatkan agar tidak mengulangi lagi kesalahan tersebut.
Tertuduh itu diwakili peguam Datuk Ram Singh manakala Siti Noor Liyana diwakili peguam Khalid Murshidi.
Sementara itu, pada 27 Februari lalu, Luisa turut dikenakan denda yang sama, bagi kesalahan yang serupa selepas pertuduhan asal Seksyen 506 Kanun Keseksaan diturunkan kepada Seksyen 8(1)(b) dibawah Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil yang memperuntukkan denda sebanyak RM25.
Bagi kesalahan tersebut, Luisa dikenakan pertuduhan selepas membuat ugutan bunuh kepada Siti Noor Liyana.
Berdasarkan rekod juga tertuduh pada 10 Jun 2024 turut didenda sebanyak RM5,000 dibawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, oleh Mahkamah Sesyen selepas beliau mengaku bersalah menghantar komen jelik terhadap Fairuz yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah di ruangan komen media sosial Facebook miliknya pada 30 April.
Pada tarikh sama, Luisa juga didenda sebanyak RM3,000 dibawah seksyen 509 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku mengaibkan kehormatan Fairuz dengan menggunakan perkataan kesat melalui aplikasi WhatsApp pada 6 April.

