Wanita dikejar lelaki bersenjata pisau di parkir pusat beli-belah

8 Feb 2026 • 4:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 8 FEB: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dikejar seorang lelaki tidak dikenali dipercayai bersenjatakan pisau di kawasan parkir sebuah pusat membeli-belah di Taman Lagenda, di Melaka, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa yang juga penuntut universiti berusia 21 tahun sedang menunggu ahli keluarganya masuk ke dalam kenderaan sebelum didatangi suspek berusia 50 tahun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek secara tiba-tiba memarahi dan menjerit ke arah mangsa serta adiknya sambil memegang sebilah pisau, menyebabkan kedua-duanya takut dan curiga.

“Mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik bertindak melarikan diri masuk ke dalam pusat membeli-belah tersebut.

“Bagaimanapun, suspek bertindak mengejar mereka sebelum dilaporkan terjatuh, sekali gus membolehkan dua beradik itu menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Menurutnya, suspek yang beralamat di Kelemak, Alor Gajah berjaya ditahan beberapa jam kemudian dan polis turut merampas sebilah pisau, sehelai baju serta seluar dipercayai digunakan ketika kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved