Wanita ditahan conteng kalimah ALLAH, tanda salib pada kotak elektrik

9 Nov 2026 • 7:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wanita ditahan conteng kalimah ALLAH, tanda salib pada kotak elektrik
Tangkap layar video tular memaparkan seorang wanita disyaki melakukan khianat dengan melukis kalimah ALLAH dan tanda salib pada sebuah kotak panel kawalan elektrik di Taman Sutera.

KAJANG - Seorang wanita tempatan ditahan selepas disyaki melakukan khianat dengan melukis kalimah ALLAH dan tanda salib pada sebuah kotak panel kawalan elektrik di Taman Sutera di sini.

Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan sepasukan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira jam 2.15 petang pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, tangkapan itu susulan laporan polis yang diterima pada Ahad.

"Kita turut merampas beberapa barangan termasuk cat berwarna merah dan pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian, termasuk mendapatkan keterangan saksi serta meneliti rakaman video yang tular," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim menerusi talian 017-8881 475 bagi membantu siasatan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved