Wanita ditemukan tidak sedarkan diri di hotel

6 Apr 2026 • 6:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik sebuah hotel di Tanjung Tokong. Foto hiasan

GEORGE TOWN - Seorang wanita tempatan berusia 27 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik sebuah hotel di Tanjung Tokong sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, polis menerima laporan daripada pihak hospital kira-kira jam 12.30 tengah hari berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Langkawi, Kedah difahamkan datang ke Pulau Pinang bersama pasangannya untuk bercuti sejak 3 April lalu dan menginap di sebuah hotel di kawasan Tanjung Tokong.

“Pada jam kira-kira 9.30 pagi hari kejadian, mangsa ditemui oleh pasangannya dalam keadaan lemah selepas mandi sebelum tidak sedarkan diri ketika berehat di atas katil bilik hotel.

“Ambulans kemudian dipanggil bagi memberikan bantuan kecemasan sebelum mangsa dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 11.46 pagi ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas badan mangsa serta siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Bedah siasat telah dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik hospital sama pada hari ini namun belum memperolehi keputusan penuh kerana masih menunggu analisis makmal.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) telah dibuka bagi siasatan lanjut,” katanya.