
JOHOR BAHRU – Seorang jururawat yang bekerja di Singapura mendakwa hidup dalam ketakutan selepas diugut bunuh, dipukul dan mahu dijadikan ‘hamba seks’ oleh bekas teman lelakinya yang tidak dapat menerima keputusan wanita itu untuk menamatkan hubungan mereka.
Lebih memburukkan keadaan, wanita berusia 29 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Nini itu mendakwa bekas teman lelakinya turut mengugut akan menyebarkan foto dan video hubungan intim mereka sekiranya dia enggan kembali menjalinkan hubungan.
“Hubungan cinta kami terjalin kira-kira lima bulan itu pada awalnya berjalan lancar sebelum saya mengambil keputusan untuk berpisah selepas mengetahui lelaki berusia 27 tahun terbabit didakwa mengambil dadah serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Selepas saya beritahu mahu putus hubungan, dia mula berubah agresif. Saya dipukul, diugut mahu dibunuh dan dia mendakwa dirinya ahli kumpulan kongsi gelap serta akan membawa rakan-rakannya mengganggu saya,”katanya pada sidang akhbar di Pusat Aduan Team TLK di Kota Puteri, di sini hari ini.
Menurutnya, tekanan yang dihadapi semakin memuncak apabila keluarga bekas teman lelakinya turut campur tangan dan mendesak mereka kembali bersama.
Dakwanya, ibu lelaki berkenaan turut mengugut untuk menyebarkan foto dan video intim mereka selain menghubungi ibu bapa mangsa menerusi aplikasi WhatsApp sebelum sebahagian kandungan tersebut didakwa dimuat naik di TikTok.
Katanya, sepanjang tempoh itu dia menerima ugutan antara tujuh hingga 10 kali supaya kembali menjalinkan hubungan, jika tidak foto serta video intim berkenaan akan terus disebarkan.
Susulan itu, Nini membuat laporan polis pertama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada 9 Julai lalu.
Menurutnya, ketika itu bekas teman lelakinya hadir ke balai polis dan memadam kandungan terbabit daripada telefon bimbitnya, menyebabkan dia menarik semula laporan tersebut kerana menyangka isu berkenaan telah selesai.
Namun dakwanya, ugutan kembali berulang apabila lelaki terbabit meminta dia kembali menjadi teman wanitanya atau memenuhi kehendaknya untuk melakukan hubungan seks bagi mengelakkan foto dan video intim mereka terus disebarkan.
“Dia kata kalau saya tidak mahu kembali kepadanya, saya perlu terus melayan kehendaknya. Saya rasa seperti mahu dijadikan hamba seks,” dakwanya.
Menurutnya lagi, selepas kandungan intim itu didakwa dihantar kepada ibu, ahli keluarga serta bapa saudaranya, dia sekali lagi membuat laporan polis di IPD Johor Bahru Selatan pada 19 Julai lalu.
Dia mendakwa masih menerima ugutan kali terakhir pada Isnin lalu dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera kerana bimbang keselamatan dirinya serta keluarganya.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan Team TLK, Lim Thow Siang, berharap polis menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap dakwaan berkenaan.
Menurutnya, sekiranya terdapat bukti mencukupi dan kertas siasatan lengkap, tindakan pendakwaan sewajarnya boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang.-KOSMO! ONLINE
The post Wanita diugut bunuh bekas teman lelaki lepas putuskan cinta appeared first on Kosmo Digital.






