Wanita hamil 8 bulan serang ‘skandal’ suami hingga maut

23 Apr 2025 • 11:03 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Seorang wanita yang sedang hamil lapan bulan bertindak di luar kawalan apabila menyerang perempuan yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan suaminya di sebuah hotel cinta di Min Buri, Bangkok, kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Potjanart, 23, maut selepas dipukul dan ditendang bertubi-tubi oleh suspek, Worrawan, 28, sejurus dia membuka pintu bilik hotel yang disewa bersama suami wanita itu, Bas.

Difahamkan, semasa kejadian sekitar jam 7 pagi, Bas hanya duduk diam dalam bilik dan langsung tidak cuba menghentikan serangan tersebut.

Menurut pekerja hotel, suspek sempat mengeluarkan pisau dan cuba menikam mangsa, tapi sempat dihalang oleh rakannya yang datang bersama ke hotel. Potjanart yang tidak sedarkan diri kemudian dibawa ke hospital oleh kakitangan hotel selepas Worrawan menghalang suaminya daripada membantu. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Siasatan polis mendapati Worrawan mula mengesyaki hubungan sulit itu sejak 12 April lalu dan pernah merayu kepada Potjanart agar menjauhkan diri daripada suaminya atas alasan sedang mengandung. Rayuannya tidak dipedulikan, malah beberapa hari sebelum kejadian, dia gagal menghubungi suaminya, menyebabkan dia mula mengesyaki sesuatu dan pergi mencari mereka di hotel yang pernah dikunjunginya bersama suami.

Worrawan kini ditahan pihak polis dan disiasat mengikut kesalahan menyebabkan kematian. Dia turut memohon ikat jamin sementara atas alasan bakal melahirkan anak tidak lama lagi.

Bapa mangsa, Noppakhun, 58, dan suami sah Potjanart, Kai, 29, hadir ke balai polis untuk memberikan keterangan. Kedua-duanya mengaku tidak mengetahui mengenai hubungan sulit antara Potjanart dan Bas. Mereka juga menyifatkan tindakan Worrawan sebagai keterlaluan walaupun tidak menafikan kesalahan anaknya.

Bas pula memohon maaf kepada keluarga mangsa dan menyerahkan wang 20,000 baht sebagai bantuan untuk menguruskan proses pengebumian. Dia mengaku terlalu takut untuk bertindak ketika kejadian kerana Worrawan pernah menunjukkan sikap ganas terhadapnya sebelum ini. – Agensi