
Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 21 tahun yang sedang hamil dijatuhi hukuman penjara setahun kerana secara tidak sah menyerahkan kawalan akaun banknya kepada orang lain.
Azira Awang Ahmad mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain terhadap pertuduhan itu pada Khamis.
Dia telah memberikan kawalan akaun banknya kepada seorang lelaki tanpa kuasa yang sah antara jam 4.19 petang hingga 6.12 petang pada 14 April tahun ini di CIMB Bank Ranau.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 424B Kanun Keseksaan membawa hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara antara satu hingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Azira yang kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan berulang menggunakan dadah menjalani hukuman penjara setahun itu bermula dari tarikh tangkapannya pada 30 Jun tahun ini.
Semasa mitigasi Azira yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman itu dijalankan serentak dengan hukuman lima tahun yang sedang ditanggungnya dengan alasan dia sedang hamil.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Yousof Tahir Mahmood memohon mahkamah mengenakan hukuman pencegahan berbentuk penjara dan denda memandangkan kes seumpama ini semakin berleluasa.
Mahkamah diberitahu bahawa pada 14 April tahun ini kira-kira jam 5.50 pagi seorang pengadu melihat mesej di Telegram mengenai pembelian emas lelong pada harga RM320. Pengadu berminat dengan tawaran itu dan menghubungi pemilik iklan.
Pengadu telah diarahkan membuat beberapa transaksi berperingkat ke dalam akaun bank pemilik iklan yang kemudiannya dikenal pasti milik Azira bagi tujuan membeli emas lelong tersebut.
Pada hari sama antara jam 4.19 petang hingga 6.12 petang pengadu membuat tiga pindahan berjumlah RM2,320 ke dalam akaun CIMB milik Azira. Hasil siasatan polis Azira ditangkap pada 30 Jun kira-kira jam 11.27 pagi.
Siasatan mendedahkan bahawa akaun CIMB itu memang milik Azira tetapi dia telah menyerahkan kawalan akaun tersebut kepada seorang lelaki bernama Mohamad Dahari yang masih belum dikesan.
Azira secara langsung dan tanpa alasan sah telah memberikan kawalan akaun CIMB miliknya kepada orang lain. Dia juga gagal membuat laporan polis selepas kad ATM CIMB tidak lagi berada dalam miliknya.
Siasatan lanjut mendapati bahawa walaupun kad ATM CIMB itu tidak berada padanya beberapa transaksi telah dilakukan melalui akaun tersebut termasuk transaksi yang dibuat oleh pengadu.



