
Strategi wanita muda jana KWSP jutaan
Wanita Hampir Berjaya Kumpul RM2 Juta Dalam KWSP Pada Usia 35 Tahun, Ini Rahsianya. Seorang pengguna Reddit bernama Superficial1234 telah meraih perhatian ramai apabila berkongsi pencapaiannya mengumpul hampir RM2 juta dalam KWSP pada umur 35 tahun.
Simpanan yang mengagumkan ini terkumpul dalam tiga akaun berasingan – Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,918,580.36.

Pengguna ini mendedahkan bahawa beliau memperolehi pendapatan bulanan sekitar RM50,000, tidak termasuk dengan bonus tahunan antara RM200,000 hingga RM300,000.
Antara beberapa strategi kejayaan yang dikongsi termasuk:
- Setia dengan satu majikan sejak tamat pengajian, yang membawa kepada kenaikan pangkat dan gaji berterusan.
- Membuat sumbangan peribadi maksimum ke KWSP sehingga RM100,000 setahun
- Tidak membuat sebarang pengeluaran wang KWSP walaupun layak mengeluarkan lebih RM1 juta
- Membiarkan wang berkembang melalui faedah dividen – mengambil masa 10 tahun untuk mencapai RM1 juta pertama dan hanya 3 tahun lagi untuk mencecah RM2 juta
Menariknya, ramai yang menganggap beliau seorang lelaki berdasarkan jumlah pendapatan dan simpanan yang tinggi. Namun, beliau menegaskan bahawa wanita juga mampu mencapai kejayaan kewangan yang sama hebat.
Kisah beliau menjadi inspirasi buat golongan muda yang bercita-cita untuk mencapai peringkat bebas kewangan pada usia muda. Antara pengajaran penting ialah kesetiaan kepada majikan, komitmen menyimpan dalam KWSP, dan disiplin untuk tidak mengeluarkan simpanan sebelum waktunya.

