
ALOR SETAR: “Saya tidak minta banyak, cukuplah kalau bumbung rumah yang bocor dibaiki selain ada tandas supaya anak-anak dapat hidup lebih selesa.
Itu harapan suri rumah, Mariati Antek, 37, yang kesempitan hidup sehingga terpaksa menetap di sebuah rumah usang bersama suami dan dua anak di Kuala Kangkong, di sini.
Rumah yang menjadi tempat berteduh keluarga itu berada dalam keadaan serba daif dengan bumbung yang bocor selain tiada tandas malah bekalan air juga pernah dipotong.
Menurut Mariati keadaan itu memaksanya membawa anak-anak ke tandas sebuah pusat beli-belah berhampiran untuk mandi atau buang air.
“Bekalan air baru disambung semula bulan lalu selepas ada seorang dermawan bantu melangsaikan tunggakan. Sepanjang tiada air, memang susah. Kami terpaksa ke tandas dan mandi di luar tetapi kami cuba bertahan kerana tiada pilihan,” katanya.
Mariati berkata, suaminya, Mohd. Akhir Omar, 37, bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak tetap.
Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh berbuat demikian dengan menderma melalui akaun BSN milik Mariati, bernombor 1200141000015872.-UTUSAN.
The post Wanita harap bantuan baiki tandas, bumbung rumah demi anak-anak appeared first on Utusan Malaysia.


