Wanita Hari Ini, Mydin Bergabung Salur Bantuan Kepada Anggota Barisan Hadapan

27 Mar 2024 • 9:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Ramadan adalah bulan di mana umat Islam berlumba-lumba mengumpul pahala. Amalan bersedekah sudah menjadi amalan biasa sepanjang tempoh ini, di mana Allah menjanjikan pahala yang berlipat ganda.

Hanya dengan bersedekah, kita dapat sama-sama memahami susah payah mereka yang memerlukan.

image is not available

Istimewa Ramadan kali ini, TV3 dan Tonton melalui program bual bicara nombor 1 negara, Wanita Hari Ini (WHI) membawakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘WHI Kongsi’ hasil kerjasama dengan Mydin untuk berkongsi rezeki dan mengimarahkan lagi bulan yang mulia. 

‘WHI Kongsi’ telah menjadi sebuah acara tahunan yang dianjurkan oleh program WHI untuk membantu golongan yang memerlukan dan menghargai pengorbanan anggota berseragam atau dikenali sebagai ‘frontliners’. 

Menerusi konsep berkongsi rezeki ini juga diharap dapat meringankan beban untuk sama-sama membuat persediaan untuk berbuka puasa mahupun persediaan menyambut Aidilfitri. 

image is not available
Uyaina Arshad (kanan) turut turun padang memeriahkan acara

Sempena kempen Ramadan Raya ‘Macam Dulu-Dulu’ anjuran Media Prima Berhad tahun ini, ‘WHI Kongsi X Mydin Prihatin’ pada Selasa, bersama-sama barisan hos WHI telah bersama-sama dengan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di PPR Lembah Subang 2 dalam acara 'rewang' yang menggamit nostalgia. 

Selain itu, terdapat juga pengagihan makanan berbuka puasa bersama Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, dan isteri kepada penduduk di sekitar kawasan itu.

image is not available
Ameer Ali Mydin

Pihak Mydin juga mengagihkan 150 set bantuan Kotak MYDIN Prihatin pada acara tersebut bernilai sehingga RM60 yang mengandungi barangan keperluan harian seperti beras, gula pasir, tepung gandum, minyak masak, bihun, sardin, biskut krim kraker, susu pekat krimer, serbuk tea, serbuk kopi dan pelitup muka.

Turut bersama pada acara tersebut adalah Pengurus Besar Kanan, Pemasaran Kreatif & Komunikasi, Rangkaian Televisyen Media Prima, Farah Shamsudin, dan Pengurus Besar, Majalah, Gaya Hidup dan Bual Bicara, Rangkaian Televisyen Media Prima, Wan Sabariah Shikh Ali.

Memasuki tahun ketiga, ‘WHI Kongsi’ pada tahun ini telah menyantuni warga kerja Hospital Tunku Azizah, polis trafik Jalan Tun Abdul Razak dan akan bersahur dengan warga tentera darat di Johor pada hujung minggu ini. 

image is not available

Projek ‘WHI Kongsi’ tahun ini diketuai oleh Wan Ain Afifah Nasuruddin dan Shifa Noor Shaharudin, dibantu oleh Nurnatasha Nadia Hamzah dan Nurlisa Adrianna Yusharman. 

Produksi WHI diterbitkan oleh Muhammad Husni Ab Mahat, Nor Fariza Kamarulzaman dan Noor Haslinda Ismail selaku penerbit manakala Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan selaku penerbit eksekutif. 

Segmen khas ini bakal ditayangkan di program WHI pada Jumaat ini, 29 Mac 2024, jam 12.00 tengah hari.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia. - Getaran, 27 Mac 2024

Foto : TV3 Malaysia