
KUALA LUMPUR – Seorang pengguna media sosial berdepan detik mencemaskan apabila seekor ular sawa tiba-tiba muncul di dapur rumahnya sebaik sahaja dia selesai memasak.
Menerusi satu hantaran video di TikTok, pengguna akaun @intanshazrina._ sempat merakam reptilia berkenaan yang kelihatan tenang berada di kawasan dapurnya.
“Bila ada tetamu yang tak diundang nak makan sup ayam yang kau baru masak,” tulisnya di ruangan kapsyen video tersebut yang kini menarik perhatian ramai.
Menurutnya di ruangan komen, dia pada mulanya tidak menyedari kehadiran ular itu sehinggalah dia menghampiri dapur untuk menambah lauk.
“Saya tak perasan. Waktu nak tambah lauk saya buka penutup periuk, tahu-tahu ada depan muka. Dari jauh nampak benda berjuntai, tapi saya ingat besi sebab saya rabun. Dah buka periuk baru saya perasan, nasib baik tak kena sambar,” katanya.
Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-rata terkejut namun tidak kurang juga meninggalkan komen lucu terhadap situasi tersebut.
“Beraninya ambil gambar, kalau saya memang tak pandang lagi dah. Terus lari jauh-jauh,” komen pengguna bernama @Rosmawatie.
“Terliur sangat tu cara renung, teringin sangat sup ayam sampai air liur pun ikut meleleh,” gurau @Sofea.
“Gelinya. Ni kalau depan mata aku, tak tahu lah. Memang terkejut, sumpah seranah, makian semua dia kena,” tulis @Anggun.
Kejadian itu sekali lagi mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan memeriksa kawasan rumah, terutama ruang dapur atau stor, yang berpotensi menjadi tempat persembunyian reptilia berbahaya.




