Wanita mahu HARAPAN fokus kemenangan untuk bela nasib rakyat

16 Oct 2022 • 1:36 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 16 OKT: Ketua Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) menegaskan tumpuan jentera parti adalah untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Aiman Athirah Sabu berkata tanpa mengiran jantina yang bertanding, fokus utama adalah memastikan calon HARAPAN menang dan seterusnya membela nasib rakyat.

“Komitmen kita untuk menyelamat negara, jadi semestinya kemenangan dalam PRU15 itulah yang perlu kita fokus.

“Perkasakan kawasan yang kita bertanding, pastikan kemenangan tidak kira calon lelaki atau perempuan dengan itu barulah agenda menyelamatkan negara boleh kita capai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Iltizam & Jentera Wanita HARAPAN PRU15 di Dewan Raja Muda Musa di sini semalam.

Wanita HARAPAN melancarkan 30 iltizam PRU15 yang menumpukan enam perkara utama iaitu wanita, kanak-kanak, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), pembangunan sosial dan impak perubahan iklim serta inisiatif ekonomi peduli wanita.