
SULAWESI TENGGARA: Seorang wanita dikenali sebagai Wa Siti, 55, ditemukan maut selepas dililit seekor ular sawa sepanjang 6.5 meter di kawasan semak kebun di Dusun Labale, Desa Winning, Kecamatan Pasarwajo, Kabupaten Buton di Indonesia.
Ketua Polis Pasarwajo, Inspektor Satu (Iptu) Hardi, mengesahkan tragedi menyayat hati itu berlaku pada Rabu lalu.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya kepada detikcom, dipetik daripada laporan detikSulsel pada Khamis.
Menurut Hardi, Wa Siti keluar ke kebun pada waktu pagi namun tidak pulang sehingga lewat petang, menyebabkan dua anaknya pergi mencarinya.
“Anak mangsa menemui ibunya dalam keadaan dililit ular,” katanya.
Salah seorang anak mangsa, La Faru, pergi ke kebun milik ibunya, namun hanya menemui bakul yang biasa digunakan oleh ibunya. Merasakan sesuatu yang tidak kena, dia segera memanggil anggota keluarga lain.
Mereka kemudian menemui Wa Siti dalam keadaan ngeri, sudah tidak bernyawa dan kepalanya berada dalam mulut ular berkenaan.
“Mereka bertindak memenggal kepala ular sawa terbabit sebelum membawa pulang mayat mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, pakar herpetologi dari Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Amir Hamidy berkata, reptilia itu adalah spesies ular sawa batik atau Python reticulatus yang sememangnya terdapat di kawasan hutan Sulawesi.
