
MINNEAPOLIS, MINNESOTA – Seorang wanita dilaporkan maut ditembak oleh seorang ejen imigresen di Minneapolis dalam satu insiden yang mencetuskan kemarahan orang ramai, meskipun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa tindakan itu dilakukan bagi mempertahankan diri.
Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, menolak dakwaan pentadbiran Trump bahawa mangsa menyerang ejen persekutuan, malah menyifatkannya sebagai tidak berasas. Beliau turut menggesa ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) yang terlibat dalam serbuan besar-besaran terhadap pendatang tanpa izin supaya meninggalkan bandar tersebut.
Susulan kejadian itu, ribuan orang dilaporkan berkumpul di lokasi kejadian untuk majlis berkabung, manakala beberapa siri protes turut tercetus termasuk di Manhattan, New York.
Rakaman Video Cetus Kemarahan Awam
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda menghalang laluan sebuah kenderaan ICE tidak bertanda di atas jalan yang dilitupi salji. Ketika itu, beberapa ejen ICE dilihat menghampiri kenderaan berkenaan dan cuba membuka pintu kereta.
Mangsa, yang dikenal pasti oleh media tempatan sebagai Renee Nicole Good, 37, dipercayai cuba memandu keluar dari lokasi kejadian. Dalam kekecohan itu, seorang ejen melepaskan tiga das tembakan menggunakan pistol ketika kenderaan tersebut sedang bergerak.
Trump yang sebelum ini mengarahkan operasi besar-besaran anti imigresen di seluruh negara, menuduh mangsa cuba melanggar ejen dengan sengaja. Menerusi hantaran di platform Truth Social, beliau mendakwa wanita tersebut berada dalam keadaan tidak terkawal serta bertindak menghalang dan melawan ejen bertugas.
Menurut Trump, tembakan dilepaskan sebagai langkah mempertahankan diri oleh ejen berkenaan.
Insiden berkenaan berlaku ketika beberapa kumpulan mengadakan protes terhadap tindakan penguatkuasaan imigresen di selatan Minneapolis, sekali gus menambah ketegangan dalam isu imigresen yang semakin memuncak di Amerika Syarikat. – The Malaysian Update
The post Wanita Maut Ditembak Ejen ICE, Datuk Bandar Minneapolis Label Dakwaan Trump ‘Tidak Berasas’ appeared first on The Malaysian Update.

