
TEMERLOH - Seorang wanita maut, manakala seorang lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Temerloh-Jerantut di sini pada Khamis.
Mangsa dikenali Hamidah Ismail, 61, beralamat Kampung Damak, Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, kemalangan membabitkan SUV jenis Perodua Kembara dan Hyundai Santa Fe.
Menurutnya, seramai lima anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 9.23 pagi.
"Berlaku kemalangan melibatkan dua kenderaan yang telah bertembung.
"Terdapat seorang iaitu lelaki dewasa iaitu pemandu Hyundai cedera dan seorang perempuan dewasa iaitu pemandu Kembara tersepit dan meninggal dunia disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Mangsa yang cedera telah diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," jelas beliau.
