CHERAS - Seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai melarikan diri daripada pihak kedutaan maut selepas jatuh ke dalam tasik di Taman Tasik Lake Valley Bandar Tun Hussien Onn di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 4.35 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn telah dikejarkan ke lokasi bagi operasi mencari mangsa.
**media[3458214]**
"Operasi dibantu Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pelabuhan Klang, BBP Shah Alam dan BBP KLIA.
"Unit PPDA telah melakukan selaman pada jam 10.10 malam sebelum mangsa yang disahkan meninggal dunia itu dijumpai pada 10.19 malam di jarak kira-kira enam meter dari tebing," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mayat mangsa berusia lingkungan 30-an telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta wakil Kedutaan Indonesia.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.10 malam," ujarnya.
