Wanita maut, tiga lagi cedera nahas dua kereta

24 Oct 2022 • 4:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Kanchong, Banting. -Foto: Bomba Selangor.

image is not available
Pasukan penyelamat menjalankan kerja-kerja menyelamatkan mangsa yang tersepit. -Foto: Bomba Selangor.

KUALA LANGAT - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan berhampiran Kilang Kopi Fama, Jalan Kanchong Darat, Banting di sini oada Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba Banting dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan dan tiba pada jam 2.48 petang.

"Kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Toyota Vios dan Proton Wira di mana mangsa yang tersepit seorang lelaki dan wanita di dalam kedua-dua kenderaan.

"Mangsa, Samsiyah Hatwari, 50, yang tersepit dalam Proton Wira disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Norazam berkata, mangsa lain yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang lagi wanita mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Ahmad Rihdwan Mohd Nor@Salleh berkata, siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Wira dinaiki sepasang suami isteri dari arah Morib menghala ke Banting cuba memotong sebuah Toyota Vios.

"Ketika cuba memotong terdapat kenderaan datang dari arah bertentangan menyebabkan Proton Wira itu cuba masuk ke laluannya semula.

"Tindakan pemandu berusia 48 tahun itu menyebabkan Proton Wira berkenaan hilang kawalan dan berpusing lalu melanggar Toyota Vios terbabit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahmad Rihdwan berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

"Mangsa merupakan penumpang dan isteri kepada pemandu Proton Wira manakala pemandu Toyota Vios berusia 44 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Banting," katanya.