Wanita maut, tujuh cedera nahas tiga kenderaan

25 Mar 2023 • 3:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Operasi menyelamat dilakukan anggota bomba di lokasi kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Bikam menghala ke Sungkai pada Sabtu. - Foto Bomba Perak

image is not available
Seorang maut manakala tujuh lain cedera dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Bikam menghala ke Sungkai pada Sabtu. - Foto Bomba Perak

TAPAH - Seorang wanita maut manakala tujuh yang lain cedera dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Bikam menghala ke Sungkai dekat sini pada Sabtu.

Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Bidor pada jam 8.56 pagi.

Mangsa yang berusia 42 tahun dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Operasi, Mohd Nasir Ibrahim berkata, nahas berkenaan melibatkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dan Toyota Vellfire dengan sebuah kereta Honda Jazz.

Menurutnya, maklumat awal mendapati, kemalangan berpunca daripada dua MPV bertembung menyebabkan sebuah kereta yang melalui jalan itu hilang kawalan dan terbabas.

"Kemalangan bagaimanapun tidak melibatkan mangsa tersepit. Terdapat lapan mangsa terlibat, seorang telah disahkan maut di tempat kejadian.

"Tujuh yang lain hanya mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan dan mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi tamat pada jam 10.41 pagi," katanya.