Wanita mengaku salah pecah amanah RM32,000 bayar hutang ah long

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 3:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nurfatin Najwa (kiri) didakwa pecah amanah berjumlah lebih RM32,000 untuk bayar hutang ah long.

BATU PAHAT - Seorang pekerja kedai serbaneka mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat pada Rabu atas tujuh pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM32,000 yang digunakan bagi melunaskan hutang ceti haram atau ah long.

Tertuduh, Nurfatin Najwa Ahmad Bzli, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh sejurus semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, wanita yang belum berkahwin itu didakwa menyalahgunakan wang tunai hasil jualan harian berjumlah RM32,101.70 milik sebuah kedai serbaneka di Taman Soga antara 21 hingga 27 Mac lalu.

Kes dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, selain denda dan sebatan jika sabit kesalahan, namun pesalah wanita dikecualikan daripada hukuman sebatan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 14 tahun serta dikenakan denda.

Bagaimanapun, Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah memberikan pengecualian hukuman sebatan terhadap pesalah wanita.

Menurut laporan yang dibuat, pihak pengurusan kedai serbaneka terbabit mendapati wujud aliran tunai mencurigakan sebelum menjalankan audit.

Pada 19 Mac lalu, tertuduh ditugaskan mengira stok serta menjaga kaunter pembayaran kerana menggantikan seorang pekerja kedai serbaneka terbabit yang cuti bersalin.

Kejadian terbongkar apabila pihak pengurusan mendapati jumlah stok dan pendapatan harian tidak selari sebelum menjalankan pemeriksaan.

Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku melakukan pecah amanah kerana mahu membayar hutang ah long.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Memandangkan tertuduh mengaku bersalah, pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin serta memohon tarikh bagi sebutan fakta dan hukuman.

Mahkamah memutuskan tiada jaminan ditawarkan dan kes disebut semula pada Jumaat ini untuk fakta dan hukuman.

View Original Article