Wanita mesti berani pertahan hak: Azizah

LocalPolitics
21 Apr 2025 • 4:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Noor Zafira Zayn

Kota Kinabalu: Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata setiap pemimpin wajar memperjuangkan hak rakyat termasuk hak wanita lebih-lebih lagi membabitkan maruah.

“Saya memuji tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak Datuk Norazlinah Arif yang menyuarakan hak dan isu wanita.

“Jika wanita tidak bersuara, tidak berani tampil ke depan untuk mempertahankan maruah, lebih-lebih lagi ia melibatkan sensitiviti serta moral, siapa lagi.

“Bagi saya, apa yang dilakukan oleh beliau perlu dicontohi oleh pemimpin lain, bahkan oleh semua wanita kerana kita mesti berani untuk menegakkan hak kita.

“Mana boleh orang sesuka hati mahu bergurau senda tanpa ada batas kan?” katanya kepada pemberita semasa Majlis Jamuan Aidilfitri beliau di rumahnya, di sini, Sabtu.

Terdahulu, tular klip video yang memaparkan Norazlinah menyentuh isu ditumbuk oleh Adun Merotai Sarifuddin Hata dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini.

Dalam klip itu, Norazlinah menyuara rasa kecewanya dengan insiden ditumbuk semasa persidangan lepas dan menyifatkan tindakan itu tidak wajar walaupun hanya satu gurauan.

Norazlinah membalas hujah bahas yang dicelah oleh Adun Lamag Datuk Bung Moktar Radin dan Sarifuddin.

Menurut Azizah lagi, penglibatan wanita dan pemimpin wanita dalam pentadbiran, pengurusan dan perlaksanaan sistem khasnya semasa pentadbiran GRS jelas menunjukkkan bahawa Kerajaan Negeri tidak memandang enteng peranan golongan itu.

Katanya, dasar 30 peratus penglibatan wanita direalisasikan dalam semua ruang termasuk jawatan pengerusi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli lembaga pengarah (BOD) dan sebagainya.

“Kita boleh nampak, wanita banyak dilibatkan dan 30 peratus itu bukan bermakna kita mahu memonopoli.

“Tetapi kita mahu bersama-sama kaum lelaki yang mewakili 70 peratus itu untuk mentadbir, membangun dan membawa lebih banyak kemajuan kepada negeri Sabah yang kita sayang ini,” katanya.