
Kota Kinabalu: Seorang operator wanita berusia 30 tahun dipenjara tujuh tahun kerana memiliki 33.26gm syabu tahun lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Ivy Jenhol yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Ivy didapati memiliki dadah itu jam 2.14 petang pada 9 Nov 2021 di tepi jalan di hadapan Kedai Kent FJ Unisex Saloon di Taman Telipok Ria, Telipok.
Kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) Akta sama itu membawa hukuman penjara antara lima tahun dan seumur hidup, dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Ivy menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 9 Nov 2021 dan sebatan dikenakan ke atasnya kerana jantinanya.
Semasa mitigasi, Ivy yang tidak diwakili, merayu hukuman ringan dengan mengatakan bahawa dia perlu menyara dua anaknya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Faezah Jafry menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan memandangkan kesalahan itu kini berleluasa.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

