Wanita OKU bangun awal pagi, bersemangat buang undi

11 May 2024 • 10:07 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

HULU SELANGOR, 11 MEI: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) kategori sindrom down membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu kira-kira jam 8.45 pagi hari ini.

Ditemani ibunya, Wee Mary, 70, Goh Liew Yong, 36, kelihatan bersemangat menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Wee Mary berkata anaknya sudah kali kedua mengundi tahun ini.

“Dia bersemangat bangun pagi ini kerana semalam saya sudah terangkan hari ini kena mengundi. Dia sudah faham kerana ini kali kedua,” katanya.

Wee Mary yang sudah lebih lima kali mengundi di DUN berkenaan berkata tanggungjawab menunaikan undi adalah kewajipan sebagai rakyat Malaysia.

“Tidak kira anda OKU, warga emas atau anak muda, jika layak anda perlu cuba sedaya upaya datang ke pusat mengundi untuk memilih pemimpin kawasan,” katanya.

Secara keseluruhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 18 pusat mengundi dan 74 saluran dibuka untuk tujuan pengundian dengan 39,269 orang bakal mengundi pada PRK kali ini.

Berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) cuaca sekitar Kuala Kubu Bharu hari ini diramalkan tiada hujan di sebelah pagi, ribut petir sebelah petang dan hujan pada sebelah malam.

SPR sebelum ini menasihatkan pengundi untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat dalam aplikasi MySPR Semak.