Wanita Perlu Buat Laporan Polis Berhubung Perkataan ‘Lucah’ Hokkien Disebut Sanusi – Rayer

Politics
5 Jun 2023 • 7:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Muhammad Sanusi Md Nor - Gambar fail

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Jelutong, R S N Rayer berkata, semua wanita perlu membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana menggunakan perkataan kasar dalam bahasa Hokkien ketika menyampaikan ceramah, baru-baru ini.

image is not available
R S N Rayer - Gambar fail

Beliau berkata, lelaki sekali pun akan tersinggung dengan perkataan disebut Muhammad Sanusi pada perhimpunan Perikatan Nasional (PN) di Kubang Semang, Permatang Pauh, Sabtu lalu.

“Saya rasa lelaki pun tersinggung dengan perkara ini. Hari ini saya dengan ini mencabar Sanusi untuk mengeluarkan perkataan sama ketika berjalan di jalanan Pulau Pinang. Sebut perkataan seperti itu di khalayak ramai dan mari kita lihat bagaimana orang akan bertindak balas terhadapnya. Dia kasar dan tidak berperasaan, namun mahu dipanggil pemimpin,” kata Rayer pada sidang media hari ini.

Ahli politik DAP itu merujuk kepada klip video di media sosial memaparkan Sanusi menyebut “l*n j**”, iaitu perkataan dalam bahasa Hokkien yang merujuk kepada alat sulit lelaki.

Ucapannya itu disambut dengan gelak tawa riuh rendah dari peserta perhimpunan itu.

Turut ketawa bersama di atas pentas ialah Presiden Gerakan, Dominic Lau dan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Sanusi didakwa menggunakan perkataan itu apabila bercakap mengenai bagaimana orang bukan Islam tidak akan menjadi mangsa, sekiranya PAS mengambil alih Pulau Pinang.

Ucapan beliau pada ceramah itu diadakan susulan parti politik kini bersiap sedia untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Sanusi juga adalah Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN).

Rayer berkata, beliau akan menuntut penjelasan Muhammad Sanusi berhubung perkara itu di Parlimen yang akan bersidang semula esok. – The Vibes, 5 Jun 2023