DUNGUN – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita yang dilaporkan putus kaki kiri selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 dinaikinya terbabas di Kilometer 341.5, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada petang Jumaat disahkan meninggal dunia.
Mangsa, Maziah Che Hassan, 57, menghembuskan nafas terakhir jam 7.15 malam ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Dungun pada hari yang sama.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang, kenderaan yang dinaiki lima individu berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.
Menurutnya, kesemua mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang selepas selesai menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Berang.
**media[3541934]**
"Apabila tiba di lokasi kejadian berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, pemandu dipercayai telah terlelap semasa memandu menyebabkan kenderaan hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh.
"Insiden itu menyebabkan kenderaan terbabit melanggar penghadang besi jalan, berpusing beberapa kali sebelum tersangkut pada penghadang jalan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita mengalami kecederaan parah dalam kemalangan di lokasi berkenaan dan impak pelanggaran kuat tersebut menyebabkan mangsa yang berada di dalam SUV berkenaan tersepit dan putus kaki kiri.
Pemandu serta tiga lagi penumpang lain dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Menurut Jumaidy, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, pihak polis turut menasihatkan semua pemandu agar mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum memandu, mematuhi had laju yang ditetapkan serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.


