Wanita rugi RM512,244 diperdaya sindiket penipuan pelaburan

20 Jul 2023 • 9:10 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KEPALA BATAS: Seorang peniaga kedai makan mendakwa kerugian RM512,244 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Mohd Asri Shafie berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu semalam daripada mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 54 tahun.

“Mangsa memaklumkan melihat iklan berkaitan pelaburan saham daripada satu akaun “value investing” pada 22 Mei lepas sebelum dia seterusnya berhubung dengan ejen pelaburan melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa kemudian diberikan penerangan mengenai pelaburan saham yang ditawarkan oleh sebuah syarikat seperti didakwa sindiket tersebut dan telah bersetuju menyertai pelaburan saham ditawarkan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seterusnya wanita itu telah mendaftar akaun pelaburannya melalui laman web htttp:/plus.com/#/resgristeragentcode697875.

Mohd Asri berkata bermula 20 Jun hingga 5 Julai lepas, wanita itu telah melakukan 20 transaksi wang sebanyak RM512,244 ke lapan akaun bank syarikat.

Beliau berkata wanita itu juga mendakwa bahawa pelaburan yang disertainya telah menjana keuntungan sebanyak RM400,000 melalui transaksi yang dipaparkan di dalam akaun pelaburan miliknya namun wang keuntungan dan modal tersebut tidak dapat dikeluarkan.

“Berikutan itu, wanita tersebut telah membuat laporan polis kerana mengesyaki telah ditipu apabila ejen pelaburan turut menghilangkan diri manakala laman web yang dijadikan sebagai platform pelaburan juga gagal diakses,“ katanya.

Menurut Mohd Asri polis sedang menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan termasuk mengesan pemilik-pemilik akaun yang digunakan sindiket tersebut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang bentuk pelaburan menawarkan keuntungan yang tinggi dalam masa singkat. -Bernama