Wanita Singapura ditahan pandu Ford Mustang sewa tamat cukai jalan, tiada insurans

LocalCars
30 Nov 2025 • 11:54 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kenderaan dipandu wanita itu turut disita untuk tindakan lanjut.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Singapura yang memandu Ford Mustang GT ditahan selepas kenderaan berkenaan dikesan tamat cukai jalan dan tidak memiliki perlindungan insurans pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, wanita berusia 40 tahun itu ditahan ketika melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) kira-kira jam 7.21 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan anggota JPJ mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) kereta berkenaan telah tamat tempoh pada 13 November lalu selain tiada rekod perlindungan insurans aktif.

"Semakan awal mendapati kereta itu disewa untuk tempoh sehari daripada sebuah syarikat kereta sewa.

"Kenderaan terbabit kemudiannya disita untuk tindakan lanjut," katanya pada Ahad.

Hamidi menegaskan pihaknya sentiasa memantau aduan orang awam dan melaksanakan pemeriksaan berterusan bagi memastikan setiap kenderaan yang berada di jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan.