KUALA LUMPUR – Seorang wanita menempuh detik cemas apabila disamun seorang individu di kawasan parkir sebuah hospital di Bukit Jalil di sini pada Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, suspek bertindak agresif dengan membuka pintu kenderaan mangsa sebelum cuba melarikan barangan milik wanita berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, bagaimanapun tindakan suspek gagal selepas berlaku pergelutan dan mangsa menjerit meminta bantuan.
“Suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.
“Siasatan awal mendapati tiada kerugian material dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Rosdi berkata, bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di kawasan Brickfields pada Rabu.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau.
“Polis turut merampas sebuah motosikal, sehelai jaket jenama Puma dan sebuah topi keledar yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.
Beliau berkata, suspek direman selama dua hari sehingga 22 Mei lalu bagi membantu siasatan.
“Lelaki itu kemudiannya dituduh di Mahkamah Jalan Duta pada Khamis di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 11 bulan terhadap suspek bermula dari tarikh tangkapan,” katanya.
