
Wanita Terkejut Temui Salamander Dalam Salad
Seorang wanita terkejut selepas mendapati bahawa hidangan salad salmon yang dipesannya hadir dengan makhluk berkaki empat yang menggerunkan, lapor The Thaiger.
Insiden itu kemudiannya dikongsi di Facebook dan mendapat perhatian ramai pengguna media sosial tersebut.
Pada awalnya, wanita itu difahamkan telah memesan hidangan salad salmon bersama sos ikan yang berasingan.
Semasa menuang sos itu, dia telah menemui seekor haiwan berbadan lutsinar yang pada awalnya disangkakan sebagai ikan yang diperam.
Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dilakukan barulah wanita itu menyedari bahawa haiwan itu mempunyai empat kaki.
“Ini adalah kisah benar, tiada siapa yang sengaja meletakkan salamander dalam salad salmon. Pada mulanya saya sangka ikan yang diperam, tetapi apabila mengacaunya, saya lihat ia mempunyai empat kaki.
“Ia bukan ikan yang diperam tetapi salamander lutsinar yang diperap dalam botol sos sehingga menjadi lutsinar,” tulis perkongsian itu.
Wanita itu turut mendedahkan bahawa kejadian sebegitu adalah yang pertama kali pernah berlaku kepada dirinya.
“Ini adalah kali pertama saya menghadapi insiden yang mengejutkan. Saya mahu setiap restoran lebih mementingkan kebersihan. Saya tidak berani makan salad hari ini kerana imej itu masih menghantui saya,” katanya lagi.
Muat naik perkongsian telah menerima pelbagai reaksi daripada pengguna
Hantaran itu menarik banyak komen daripada netizen yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap kejadian itu.
Netizen juga sempat bertanyakan sama ada wanita itu sudah merasai salad salmon tersebut atau belum semasa penemuan itu.
Mujur dia perasan makhluk itu sebelum menghidangkannya ke dalam pinggannya. Jika tidak, dia mungkin secara tidak sedar telah memakannya, lapor Sanook.
Dalam pada itu, pelanggan tersebut juga mendedahkan bahawa dia telah melaporkan kejadian itu kepada pihak restoran.
Pihak restoran dilaporkan telah meminta maaf dan mengembalikan wangnya bagi hidangan yang dicemari makhluk tersebut.
“Ia sangat menakutkan. Saya tidak marah tetapi saya terkejut. Saya memberitahu pihak restoran supaya lebih berhati-hati pada masa hadapan. Ia membuatkan saya merinding!” kata wanita itu.
Sumber: The Thaiger
The post Wanita Terkejut Temui Salamander Dalam Salad appeared first on Siakap Keli.
