
Wanita Tersilap Makan Mercun Disangka Gula-Gula
Seorang wanita di China cedera di bahagian mulut selepas tersilap menyangka sebutir mercun sebagai gula-gula susu dan memasukkannya ke dalam mulut.
Insiden itu menyebabkan letupan, dan ini mengejutkan ramai pihak serta menimbulkan kebimbangan mengenai pembungkusan yang mengelirukan.
Wanita berkenaan, dikenali sebagai Wu dari Chengdu, wilayah Sichuan, berkongsi pengalaman tersebut di media sosial.
Menurut Wu, mercun jenis shuang pao, yang sering digunakan semasa perayaan di China, mempunyai pembungkusan yang menyerupai gula-gula susu.
Kekeliruan ini menyebabkan beliau secara tidak sengaja memasukkan mercun itu ke dalam mulut, lalu meletup dan mencederakan dirinya.
Untuk info, mercun shuang pao, yang bermaksud “mercun pecah”, direka untuk meletup tanpa memerlukan api.
Ia hanya perlu dijatuhkan atau dikenakan tekanan, seperti dipijak, bagi menghasilkan letupan kuat.
Mercun ini menjadi pilihan popular untuk majlis perkahwinan, parti dan perhimpunan keluarga, terutama ketika sambutan Tahun Baharu Cina.
Insiden berlaku ketika bersantai di rumah
Dalam satu temu bual dengan Elephant News, Wu menceritakan bahawa mercun tersebut dibawa pulang oleh adiknya.
“Saya sedang menonton televisyen di ruang tamu dengan lampu tertutup ketika adik saya pulang membawa sebungkus snek.
“Saya fikir ia gula-gula susu keladi yang saya suka sejak kecil, jadi saya buka dan terus masukkan ke dalam mulut. Tiba-tiba, ia meletup.
“Saya benar-benar terkejut pada waktu itu. Secara jujurnya, saya tidak merasa sakit langsung, cuma dapat menghidu bau serbuk letupan dalam mulut saya.
“Mungkin kerana saya masih terkejut, walaupun selepas letupan, saya tidak rasa sebarang kesakitan ketika makan atau memberus gigi,” katanya.
Bungkusan ‘mengelirukan’ undang kebimbangan
Foto yang dikongsi oleh Wu menunjukkan mercun tersebut dibalut dengan plastik lut sinar dan dilapisi kerajang aluminium, menyerupai pembungkusan kapsul atau pil ubat.
Kelihatan juga kesan darah di bahagian dalam mulutnya, namun tidak dapat dipastikan sama ada beliau mendapatkan rawatan perubatan.
Wu turut mempersoalkan pembungkusan mercun itu dengan bertanya, “Bukankah mercun sepatutnya dibungkus dalam kotak?”
Insiden ini menarik perhatian ramai pengguna internet di China, yang rata-ratanya bersetuju bahawa reka bentuk pembungkusan mercun tersebut boleh mengelirukan.
Sesetengah individu malah menggunakan enjin carian imej untuk mengenal pasti mercun itu, dan hasil carian menunjukkan ia dikenali sebagai ‘gula-gula’.
“Tahun lalu, saya membeli mercun ini dan fikir rekaan ini amat bijak untuk mengelakkan mercun daripada basah dan meletup semasa penghantaran. Tetapi saya tidak sangka ia boleh disalah anggap sebagai makanan,” kata seorang warga maya.
“Ini sangat membimbangkan. Pembungkusannya terlalu menyerupai makanan, menyebabkan ia mudah disalah anggap dan dimakan secara tidak sengaja. Sepatutnya ada label amaran yang jelas bagi menunjukkan ia bahan berbahaya,” kata warga maya lainnya.
Sumber: SCMP
The post Wanita Tersilap Makan Mercun Disangka Gula-Gula appeared first on Siakap Keli.
